Skip to main content

Dunia

Pakistan, OIC kecam Netanyahu atas saranan tubuh negara Palestin di Arab Saudi

Anggaran Waktu Membaca:
Pakistan, OIC kecam Netanyahu atas saranan tubuh negara Palestin di Arab Saudi

PM Israel Benjamin Netanyahu menyampaikan ucapan berikutan mesyuarat bersama Speaker Dewan Mike Johnson di Washington pada 7 Feb 2025. (Gambar: Kayla Bartkowski/Getty Images/AFP
Kayla Bartkowski / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)

Diterbitkan : 10 Feb 2025 12:35PM Dikemas Kini : 10 Feb 2025 12:38PM
NEW DELHI: Pakistan mengecam Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Ahad (9 Feb) kerana mencadangkan agar sebuah negara Palestin ditubuhkan di Arab Saudi.

Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar berkata negaranya "mengutuk sekeras-kerasnya" kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Israel itu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan, kenyataan Encik Netanyahu "tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif dan tidak bertimbang rasa".

Pakistan serta negara-negara Islam lain menyifatkan kenyataan Encik Netanyahu itu sebagai tindakan yang menjejaskan hak rakyat Palestin untuk memiliki negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negaranya.

Mesir menegaskan bahawa keselamatan dan kedaulatan Arab Saudi adalah satu "garis merah" dan ia  tidak akan membenarkan sesiapa melintasinya. 

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pula menyifatkan kenyataan pemimpin Israel itu sebagai "hasutan terhadap Arab Saudi serta satu pelanggaran terhadap kedaulatan, keselamatan negaral dan integriti wilayah negara itu, yang jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)".

Badan yang dianggotai 57 negara itu turut menolak sebarang rancangan Israel untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah yang diduduki entiti Yahudi secara haram.

Semasa lawatan Encik Netanyahu ke Rumah Putih baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dikatakan membincangkan rancangan untuk memindahkan para penduduk Palestin dari Gaza serta membolehkan wilayah itu diambil alih oleh Amerika.

Kenyataan provokatif pemimpin Amerika dan Israel itu mencetuskan kemarahan di peringkat global kerana jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Jordan, Qatar, Kuwait dan Iraq turut mengecam kenyataan Encik Netanyahu mengenai Arab Saudi.

Ketua Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit menyifatkan retorik Encik Netanyahu sebagai tidak boleh diterima dan jauh daripada realiti.

Sementara itu, Menteri Luar Pakistan telah mengadakan perbincangan melalui telefon dengan rakan-rakan sejawatnya dari Mesir, Turki dan Iran mengenai perkembangan terkini di Gaza serta situasi kemanusiaan di wilayah tersebut.

Encik Dar juga menyatakan sokongan Pakistan untuk mengadakan mesyuarat luar biasa Majlis Menteri-Menteri Luar OIC bagi membincangkan isu Gaza.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita