Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pakistan kenakan larangan perjalanan ke atas Imran Khan

Anggaran Waktu Membaca:
Pakistan kenakan larangan perjalanan ke atas Imran Khan

Mantan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan semasa wawancara bersama AFP di tempat tinggalnya di Lahore pada 18 Mei 2023. (Gambar: Arif Ali/AFP)

ISLAMABAD: Pemerintah Pakistan menyekat mantan Perdana Menteri Imran Khan, isterinya dan ratusan pembantu politik daripada membuat perjalanan ke luar negara, kata pegawai pada Jumaat (26 Mei). 

Agensi Penyiasatan Persekutuan (FIA), yang bertanggungjawab untuk imigresen dan sempadan, meletakkan nama Encik Khan ke dalam senarai larangan terbang, lapor agensi berita Jerman, dpa. 

Isteri Encik Khan, Bushra Bibi, dan lebih 500 pemimpin dan anggota Parti Tehreek-e-Insaf Pakistannya turut tersenarai, kata pegawai itu.

Langkah itu dibuat ketika Encik Khan berdepan tindakan undang-undang beberapa minggu selepas penyokongnya menyerbu kemudahan tentera utama termasuk ibu pejabat tentera, sebagai bantahan terhadap penahanannya pada 9 Mei.

Hampir 100 mantan Ahli Parlimen dari parti Encik Khan menjauhkan diri dari mantan perdana menteri sejak kejadian itu. Lebih 7,000 penyokongnya pula ditangkap dalam satu tindakan kekerasan.

Menurut pemerintah, mereka yang menyerang kemudahan tentera akan berdepan perbicaraan di mahkamah tentera, langkah yang dikritik oleh kumpulan hak asasi global dan negara.

Pentadbiran Encik Khan, antara 2018 dan 2022, juga melarang beberapa pemimpin pembangkang daripada membuat perjalanan ke luar negara.

Beberapa menteri pemerintah berkata cadangan untuk mengharamkan parti Encik Khan sedang dipertimbangkan, langkah yang mungkin memburukkan lagi kekacauan politik di negara yang menghadapi kegagalan ekonomi dan ancaman daripada kebangkitan semula militan.

Sumber : Agensi berita/Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan