Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pakistan janji bebaskan juruterbang India sebagai 'langkah damai'

"Sebagai satu bentuk usaha damai, kami akan membebaskan juruterbang India," kata Perdana Menteri Imran Khan kepada parlimen Pakistan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pakistan janji bebaskan juruterbang India sebagai 'langkah damai'

Komander Varthaman sebelum ini dilaporkan hilang. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 01 Mar 2019 09:02AM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 09:05AM

ISLAMABAD: "Sebagai satu bentuk usaha damai, kami akan membebaskan juruterbang India," kata Perdana Menteri Imran Khan kepada parlimen Pakistan. Langkah tersebut dilihat sebagai satu isyarat damai untuk meredakan ketegangan sejak jet pejuang India melancarkan serangan dalam wilayah Pakistan pada Selasa (26 Feb).

Bagaimanapun, di sebalik janji Encik Khan itu, pasukan tentera kedua-dua negara terus bertempur di sempadan Kashmir.

Di India, pengumuman Encik Khan dilihat sebagai satu pencapaian diplomatik bagi New Dehli, dengan para pemimpin serta pegawai-pegawai tertinggi India tidak menunjukkan tanda-tanda untuk mengurangkan ketegangan antara kedua negara.

"Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk mengambil tindakan terhadap sebarang provokasi dari Pakistan," kata Mejar Jeneral India, Surendra Singh Mahal, dalam satu sidang media.

"Kami ingin memerangi pengganasan. Sedang Pakistan terus menyokongnya, kami bersedia untuk menyasarkan kem-kem pengganas dan kawasan-kawasan latihan mereka," tambahnya.

'GEMBIRA JURUTERBANG AKAN KEMBALI'

Naib Marsyal Udara RGK Kapoor menambah, meskipun keputusan Pakistan untuk membebaskan juruterbang itu dialu-alukan, ia hanya satu langkah yang selaras dengan peraturan-peraturan antarabangsa.

"Kami gembira beliau akan pulang. Kami ingin melihatnya kembali," kata beliau kepada para wartawan sambil menambah bahawa "kami hanya melihatnya sebagai satu langkah yang selaras dengan ketetapan Konvensyen Geneva".

Laporan media sebelum ini menyatakan juruterbang tersebut, yang dikenali sebagai Komander Varthaman, boleh pulang ke India hari ini (1 Mac) menerusi sempadan Wagah - tapak terkenal bagi acara-acara penting antara India dengan Pakistan, di mana para askar akan menurunkan bendera masing-masing sebaik sahaja matahari terbenam.

Dengan juruterbang tersebut mendapat jolokan sebagai 'wira' di India, media sosial dibanjiri dengan pelbagai catatan dan gambar yang disertakan dengan #WelcomeBackAbhi - sedang rakyat India menyahut seruan Perdana Menteri India yang menggesa supaya mereka "kekal bersatu" bagi menghadapi musuh "yang ingin memporak-perandakan India". 

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan