Pakistan henti khidmat kereta api, haramkan filem India
Pakistan menghentikan perkhidmatan kereta api ke India pada Khamis dan mengharamkan filem dari negara itu sedang ia meningkatkan lagi tekanan diplomatik ke atas New Delhi kerana melucutkan status khas Kashmir.
(Gambar: AFP)
SRINAGAR/ISLAMABAD: Pakistan menghentikan perkhidmatan kereta api ke India pada Khamis dan mengharamkan filem dari negara itu sedang ia meningkatkan lagi tekanan diplomatik ke atas New Delhi kerana melucutkan status khas Kashmir.
Pemerintah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi minggu ini menarik balik hak Jammu dan Kashmir yang majoriti penduduknya adalah umat Islam untuk menggubal undang-undangnya sendiri serta membenarkan orang luar dari wilayah itu untuk membeli hartanah di sana dalam percubaan untuk mengetatkan cengkamannya di wilayah berkenaan.
Kashmir masih terputus komunikasi sejak Khamis dengan rangkaian telefon dan perkhidmatan internet digantung sejak Ahad lalu manakala kira-kira 560 ahli politik dan aktivis ditahan bagi mencegah sebarang bantahan, menurut polis, media dan pemimpin politik.
Para pemimpin Kashmir memberi amaran tentang tindak balas India manakala Pakistan yang turut menuntut wilayah itu berikrar akan memperjuangkan hak penduduk yang tinggal di sana.
“Pakistan sedang meneliti pilihan politik, diplomatik dan undang-undang. Kami tidak menimbangkan pilihan ketenteraan. Tidak sama sekali,” kata Menteri Luarnya, Shah Mehmood Qureshi dalam satu sidang media di Islamabad.
Menurut India, keputusan menukar status Kashmir adalah isu dalaman negara itu dan ia bertujuan untuk membangunkan wilayah tersebut. Ia turut menggesa Pakistan supaya menimbang semula keputusan untuk menurunkan tahap hubungan diplomatik, dan berbaik semula.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.