Pakistan dakwa India lepaskan tembakan di Kashmir
Tentera Pakistan menyatakan pada Ahad (27 Sep) bahawa tentera India melepaskan tembakan merentasi sempadan di wilayah Himalaya yang dipertikaikan yang membunuh seorang askar.
(Gambar: AFP)
ISLAMABAD: Tentera Pakistan menyatakan pada Ahad (27 Sep) bahawa tentera India melepaskan tembakan merentasi sempadan di wilayah Himalaya yang dipertikaikan yang membunuh seorang askar.
Dalam satu kenyataan, pihaknya menyatakan tentera Pakistan bertindak balas dengan menyasarkan garisan kawalan sempadan India, iaitu tempat tembakan itu dilepaskan, dan menyebabkan "kerosakan besar" di pihak India tetapi tidak memberikan butiran.
Tentera India menyatakan pasukan tenteranya "sewajarnya" bertindak balas terhadap tembakan dan bedilan Pakistan di Garis Kawalan pada Sabtu di daerah Rajouri di selatan. Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan.
India dan Pakistan kerap menuduh satu sama lain melancarkan serangan tanpa provokasi di sepanjang sempadan Kashmir yang tegang. Ini melanggar perjanjian gencatan senjata pada 2003. Pakistan menyatakan India telah melanggar perjanjian itu lebih 2,000 kali pada tahun ini sahaja.
Pentadbiran Kashmir dibahagikan kepada dua negara seteru yang mempunyai senjata nuklear itu dan kedua-duanya menuntut hak ke atas seluruh wilayah tersebut. Kedua-dua pihak pernah berperang sebanyak dua kali berhubung Kashmir sejak kedua-duanya mencapai kemerdekaan dari pemerintahan kolonial Britain pada 1947.
Ketegangan memuncak pada Februari 2019, apabila seorang pengebom nekad membunuh 40 tentera India di wilayah Kashmir yang ditadbir India, dan India bertindak balas dengan serangan udara di wilayah Pakistan.
Pakistan menembak jatuh salah satu pesawat tempur di Kashmir dan menahan seorang juruterbang yang segera dibebaskan. India menyatakan bahawa serangan itu menyasarkan militan yang berpangkalan di Pakistan yang bertanggungjawab atas pengeboman nekad itu
Hubungan semakin tegang sejak Ogos tahun lalu, apabila India melucutkan status separa autonomi selama beberapa dekad di wilayah majoriti Muslim itu, sehingga mencetuskan kemarahan di kedua-dua belah sempadan. Sejak itu, pasukan tentera sering berbalas tembakan, mengorbankan puluhan orang awam dan tentera di kedua-dua pihak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.