Pakistan beri anugerah kepada warga yang terbunuh dalam serangan Christchurch
Seorang mangsa serangan Christchurch dari Pakistan yang cuba menahan penyerang bersenjata namun akhirnya ditembak mati, akan diberi anugerah atas keberaniannya, menurut Perdana Menteri negara itu Imran Khan pada Ahad (17 Mac).
Seorang ahli keluarga menatap gambar Naeem Rashid dan Talha Naeem, yang terkorban dalam serangan pengganas di Christchurch (Gambar: AFP)
ISLAMABAD: Seorang mangsa serangan Christchurch dari Pakistan yang cuba menahan penyerang bersenjata namun akhirnya ditembak mati, akan diberi anugerah atas keberaniannya, menurut Perdana Menteri negara itu Imran Khan pada Ahad (17 Mac).
Encik Khan berkata demikian setelah pejabat ehwal luar Pakistan mengesahkan sembilan rakyatnya terbunuh dalam kejadian tembakan beramai-ramai di dua masjid di New Zealand yang meragut 50 nyawa pada Jumaat lalu, termasuk ramai penduduk asing yang bermastautin di sana.
Video serangan itu menunjukkan seorang lelaki ditembak mati ketika beliau menghampiri penembak, sementara yang lain melarikan diri.
Mangsa dipercayai Naeem Rashid, namun wajahnya dalam rakaman itu kelihatan kabur dan beliau masih belum dikenal pasti secara rasmi.
"Pakistan berbangga dengan Mian Naeem Rashid yang mati syahid semasa cuba mengatasi pengganas 'pelampau kulit putih' dan keberaniannya akan diiktiraf dengan anugerah kebangsaan," menurut Encik Khan menerusi laman Twitter pada Ahad.
Pakistan mempunyai beberapa anugerah kebangsaan untuk mengiktiraf keberanian orang awam, dan Encik Khan tidak mendedahkan anugerah mana yang akan diberikan kepada Encik Rashid, yang mempunyai seorang anak yang turut terkorban dalam serangan itu.
Abang Encik Rashid, Khurshid Alam, yang bercakap dengan AFP melalui telefon dari bandar Abbottadad, barat laut Pakistan pada Sabtu, berkata beliau "bangga" dengan adiknya.
"Beliau boleh menyelamatkan nyawanya sendiri tetapi memilih untuk menyelamatkan orang lain, beliau seorang lelaki yang berani," kata Encik Alam, yang turut mengesahkan bahawa salah seorang daripada dua anak saudaranya, Talha Naeem, juga terbunuh.
Beliau berkata adiknya mungkin akan dikebumikan di New Zealand, sambil menambah bahawa keluarga mereka sedang cuba mendapatkan visa untuk menghadiri pengebumian berkenaan namun menghadapi kesukaran.
"Seramai sembilan warga Pakistan mati syahid dalam serangan pengganas di New Zealand," menurut jurucakap pejabat luar Pakistan Mohammad Faisal, menerusi Twitter. Encik Khan berkata Pakistan akan menghulurkan "sokongan sepenuhnya" kepada keluarga para mangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.