Skip to main content

Dunia

Pakistan, Afghanistan lanjutkan gencatan senjata jelang rundingan di Doha

Pakistan dan Afghanistan bersetuju pada Jumaat (17 Okt) untuk melanjutkan gencatan senjata 48 jam mereka sehingga tamatnya rundingan yang akan berlangsung di Doha, menurut pegawai kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakistan, Afghanistan lanjutkan gencatan senjata jelang rundingan di Doha

Pejuang Taliban Afghanistan berkawal berhampiran sempadan Afghanistan-Pakistan di Spin Boldak, Wilayah Kandahar, selepas kejadian tembak-menembak antara pasukan Pakistan dan Afghanistan pada 15 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Stringer)

PESHAWAR: Pakistan dan Afghanistan bersetuju pada Jumaat (17 Okt) untuk melanjutkan gencatan senjata 48 jam mereka sehingga tamatnya rundingan yang akan berlangsung di Doha, menurut pegawai kedua-dua negara.

Menurut sumber kepada Reuters, delegasi Pakistan sudah pun tiba di Doha, manakala delegasi Afghanistan dijangka tiba pada Sabtu. Rundingan itu bertujuan menstabilkan ketegangan selepas beberapa hari pertempuran maut di sempadan kedua-dua negara itu.

Pengumuman lanjutan gencatan senjata itu dibuat beberapa jam selepas satu serangan nekad berhampiran sempadan Afghanistan membunuh tujuh anggota tentera Pakistan dan mencederakan 13 yang lain, sekali gus menonjolkan betapa rapuhnya keadaan semasa.

SERANGAN MAUT DI SEMPADAN DI TENGAH-TENGAH KETENANGAN RAPUH

Pegawai Pakistan berkata, kumpulan militan menyasarkan sebuah kem tentera di Waziristan Utara, dengan merempuh dinding perimeter kem tersebut menggunakan kenderaan yang sarat dengan bahan letupan sebelum dua penyerang bersenjata cuba menceroboh pangkalan itu. Kesemua enam penyerang terbunuh, menurut pejabat Perdana Menteri Shehbaz Sharif.

Kemudian pada hari yang sama, jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid memberitahu media Afghanistan bahawa Kabul sudah mengarahkan pasukannya untuk mengekalkan gencatan senjata selagi Pakistan tidak melancarkan sebarang serangan lanjut.

RUNDUNGAN DOHA MENYUSULI PERTEMPURAN SENGIT SELAMA BERHARI-HARI

Gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada Rabu menghentikan pertempuran rentas sempadan selama berhari-hari yang mengorbankan puluhan nyawa dan mencederakan ratusan orang.

Kedua-dua tentera Pakistan mahupun Kementerian Pertahanan Afghanistan tidak mengulas mengenai rundingan yang akan datang itu.

“Dalam keadaan ini, perkara sedang berkembang dengan pantas. Jika dialog akan berlangsung di mana-mana, kami akan berkongsi maklumat pada masa yang sesuai,” kata jurucakap Kementerian Luar Pakistan di Islamabad.

“Tetapi buat masa ini, saya tidak mempunyai maklumat khusus untuk dikongsi,” tambahnya.

KETEGANGAN LAMA BERTERUSAN

Pernah menjadi sekutu rapat, Islamabad dan Kabul baru-baru ini saling melancarkan tembakan artileri dan serangan udara merentasi sempadan sebelum bersetuju dengan gencatan senjata jangka pendek yang tamat pada petang Jumaat.

Menurut Pakistan, kumpulan militan yang berpangkalan di Afghanistan meningkatkan serangan di dalam wilayahnya dan memaksa pemerintah Taliban supaya mengekang mereka.

Taliban pula menafikan bahawa ia melindungi kumpulan militan, sambil menuduh Pakistan menyebarkan maklumat palsu, mencetuskan ketegangan, dan menyokong kumpulan yang dikaitkan dengan Negara Islam (IS) untuk menggugat kestabilan Afghanistan, tuduhan-tuduhan yang dinafikan oleh Islamabad.

USAHA PENGANTARAAN SERANTAU

Bulan Sabit Merah Pakistan menyatakan Afghanistan sudah menyerahkan mayat tujuh rakyat Pakistan, termasuk dua anggota keselamatan dan lima orang awam yang terbunuh awal minggu ini.

Pertempuran terbaharu itu menandakan konfrontasi paling buruk antara kedua-dua negara itu dalam beberapa dekad dan mencetuskan usaha pengantaraan oleh Arab Saudi dan Qatar, yang berusaha untuk memeterai gencatan senjata berkekalan.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump turut menyatakan bahawa Washington bersedia untuk membantu sebagai pengantara dalam konflik berkenaan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita