Skip to main content

Dunia

Pakistan, Afghanistan adakan rundingan damai di Doha susuli pertempuran sengit

Pakistan dan Afghanistan memulakan rundingan damai di Doha pada Sabtu (18 Okt) selepas melanjutkan gencatan senjata rapuh, dalam usaha meredakan keganasan sempadan paling buruk antara kedua-dua negara jiran itu sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakistan, Afghanistan adakan rundingan damai di Doha susuli pertempuran sengit

Seorang lelaki berjalan berhampiran beberapa kanak-kanak di sisi kenderaan yang sarat dengan barangan milik warga Afghanistan yang cuba pulang ke negara mereka, selepas Pakistan menutup lintasan sempadan dengan Afghanistan, di lintasan sempadan Chaman, Wilayah Balochistan, Pakistan, pada 16 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Saeed Ali Achakzai)

ISLAMABAD: Pakistan dan Afghanistan memulakan rundingan damai di Doha pada Sabtu (18 Okt) selepas melanjutkan gencatan senjata rapuh, dalam usaha meredakan keganasan sempadan paling buruk antara kedua-dua negara jiran itu sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021.

Pertempuran sepanjang minggu lalu mengorbankan puluhan nyawa dan mencederakan ratusan yang lain, sekali gus mencetuskan usaha pengantaraan segera yang diketuai oleh Qatar, menurut sumber diplomatik.

Jurucakap pemerintah Afghanistan, Zabihullah Mujahid, berkata satu delegasi yang diketuai oleh Menteri Pertahanan, Mullah Muhammad Yaqoob, sudah tiba di Doha. “Seperti yang dijanjikan, rundingan dengan pihak Pakistan akan diadakan hari ini,” kata beliau.

GENCATAN SENJATA DILANJUTKAN SEMASA RUNDINGAN

Pejabat Luar Negeri Pakistan mengesahkan rundingan yang diketuai oleh Menteri Pertahanan, Khawaja Muhammad Asif, akan menumpukan perhatian kepada usaha menamatkan keganasan rentas sempadan dan memulihkan ketenangan di sempadan sepanjang 2,600 kilometer itu.

“Rundingan akan memberi tumpuan kepada langkah segera untuk menamatkan keganasan rentas sempadan terhadap Pakistan yang berpunca dari Afghanistan serta memulihkan keamanan dan kestabilan di sepanjang sempadan Pakistan-Afghanistan,” menurut kementerian itu.

Pegawai dari kedua-dua pihak berkata perbincangan itu mungkin dilanjutkan selepas hari Sabtu dan turut melibatkan ketua perisikan kanan dari Islamabad dan Kabul.

PERTEMPURAN DAN SERANGAN UDARA

Pertempuran tercetus selepas Islamabad menuduh Kabul gagal mengekang kumpulan militan yang melancarkan serangan ke dalam Pakistan dari wilayah Afghanistan. Taliban menafikan ia memberi perlindungan kepada kumpulan militan, dan sebaliknya menuduh Pakistan menyebarkan maklumat palsu dan melindungi pejuang yang dikaitkan dengan kumpulan Negara Islam (IS).

Pada Jumaat, satu serangan nekad berhampiran sempadan membunuh tujuh anggota tentera Pakistan dan mencederakan 13 yang lain, menurut pegawai.

Ketua angkatan tentera Pakistan, Jeneral Medan Asim Munir, menegaskan Kabul mesti bertindak. “Rejim Afghanistan mesti mengekang proksi yang mempunyai tempat perlindungan di Afghanistan dan menggunakan tanah Afghanistan untuk melancarkan serangan kejam di dalam Pakistan,” katanya dalam satu majlis graduasi ketenteraan.

Afghanistan pula menuduh Pakistan melancarkan serangan udara di dalam wilayahnya hanya beberapa jam selepas gencatan senjata yang dimulakan pada Rabu dan dilanjutkan pada Jumaat.

Encik Mujahid berkata serangan itu menyasarkan orang awam dan mengorbankan beberapa nyawa, sambil menambah bahawa Kabul berhak untuk bertindak balas, namun mengarahkan pejuangnya untuk menahan diri sementara rundingan diteruskan.

KORBAN AWAM DAN KESAN TERHADAP SUKAN

Lembaga Kriket Afghanistan memaklumkan tiga pemain tempatan terbunuh dalam serangan Pakistan di wilayah Paktika, menyebabkan Afghanistan menarik diri daripada siri tiga negara Twenty20 yang dijadual diadakan di Pakistan pada bulan depan.

Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar, pula berkata tentera sudah menyasarkan kem-kem kumpulan militan “yang disahkan”, bukan orang awam. “Semasa gencatan senjata, militan cuba melancarkan beberapa serangan ke dalam Pakistan,” katanya di platform X.

Beliau menambah lebih 100 militan terbunuh dalam serangan tersebut, kebanyakannya daripada kumpulan yang bertanggungjawab ke atas serangan nekad pada Jumaat terhadap kem tentera Pakistan.

Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas jumlah korban atau sasaran sebenar serangan tersebut.

Hasil rundingan di Doha masih tidak pasti, namun kedua-dua negara menghadapi tekanan untuk mengelakkan satu lagi kitaran keganasan di sepanjang salah satu sempadan paling tidak stabil di dunia.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita