Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pakatan Harapan perlu lagi 6 bulan untuk pulihkan negara, kata Daim Zainuddin

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerlukan enam bulan lagi untuk memulihkan negara selepas mengambil alih pentadbiran Mei tahun lalu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakatan Harapan perlu lagi 6 bulan untuk pulihkan negara, kata Daim Zainuddin

Pengerusi Majlis Penasihat Negara Malaysia, Daim Zainuddin (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 14 Apr 2019 10:39PM Dikemas Kini : 14 Apr 2019 10:42PM

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerlukan enam bulan lagi untuk memulihkan negara selepas mengambil alih pentadbiran Mei tahun lalu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin.

Beliau berkata dalam tempoh itu PH perlu berdepan dengan rakyat dan memberi penerangan yang tepat terutama dalam hal ekonomi agar mereka faham situasi semasa.

Katanya kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan pada Sabtu (13 Apr) juga adalah cabaran yang harus ditangani memandangkan rakyat tidak mampu bersabar dengan situasi semasa.

"Saya rasa kerajaan perlu tempoh masa enam bulan lagi untuk membetulkan keadaan bukan sahaja tumpu kepada pembangunan ekonomi, tetapi pelbagai isu. Ini rakyat perlu faham,” katanya kepada para wartawan selepas Program Bicara Darul Iman yang turut dihadiri Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Ahad (14 Apr).

Encik Daim berkata walaupun memahami bahawa rakyat mahu melihat perubahan, namun kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk meneliti dan menimbang sebaik mungkin sesuatu isu termasuk berhubung kedudukan ekonomi dan kewangan negara.

"Kerajaan banyak masalah… fikir tentang keselamatan, hubungan luar dan pertahanan… esok (kemudian nanti) kalau jadi apa-apa, rakyat marah kerajaan juga. Nak turunkan harga barang tu memang boleh… kita buat kajian macam mana nak turunkan harga. Insya Allah tak lama lagi akan turun, saya ingat dalam masa enam bulan lagi banyak perkara akan jadi lebih stabil," katanya.

Beliau turut mengaitkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam mungkin sebahagian manifestasi kemarahan rakyat terhadap kerajaan disebabkan kenaikan harga barang yang puncanya tidak diketahui oleh rakyat.

Ditanya sama ada persepsi rakyat terhadap prestasi kerajaan akan bertambah baik pada masa akan datang, beliau berkata ia akan berlaku sebaik sahaja kerajaan dapat menyelesaikan permasalahan rakyat seperti kenaikan kos sara hidup dan melaksanakan janji-janji manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke14 yang lalu.

"Bukannya susah hendak terangkan kepada rakyat. Kalau tak boleh buat cakap tak boleh buat. Bagi tahu kepada rakyat apa sebab tak boleh buat (sesuatu perkara), mesti ada sebab. Takkan kalau boleh buat tapi kerajaan tak nak buat, itu yang penting untuk dijelaskan kepada rakyat," katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan