Pakatan Harapan mula bincang pembahagian kerusi jelang PRN Johor
Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching di sebuah pelancaran syarikat. (Gambar: BERNAMA)
JOHOR: Pakatan Harapan (PH) Johor mula mengadakan rundingan dan perbincangan awal mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching berkata rundingan berkenaan setakat ini hanya melibatkan parti dalam gabungan PH.
“Saya rasa kita tidak boleh menolak kemungkinan untuk berdepan PRN Johor pada tahun ini. Oleh itu, PH Johor bermesyuarat dan kami dalam peringkat membincangkan pembahagian kerusi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Next Gen Luxury Coaches di Johor pada pagi Sabtu (7 Feb).
Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata perbincangan pembahagian kerusi dalam PH akan dimuktamadkan terlebih dahulu sebelum melihat peluang atau kemungkinan kerjasama dengan pihak lain.
Timbalan Pengerusi PH Johor itu juga berkata kelazimannya rundingan politik akan bermula dalam kalangan gabungan terlebih dahulu sebelum diperluas kepada parti lain jika perlu.
Encik Teo turut menzahirkan keyakinan bahawa semua parti politik kini juga sedang membuat persediaan masing-masing bagi menghadapi PRN dan sekiranya belum bermula, persiapan itu dijangka dimulakan dalam masa terdekat.
Pada PRN lepas, PH memenangi 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Barisan Nasional (40), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA sebanyak satu kerusi.
DAP menang 10 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), dan MUDA masing-masing meraih satu kerusi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.