Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pakatan Harapan kini perlu masa lebih panjang untuk tunai janji

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengambil masa lebih panjang untuk menunaikan semua janji manifesto dalam 100 hari atas faktor hutang negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakatan Harapan kini perlu masa lebih panjang untuk tunai janji

Dr Wan Azizah menyambut Lebaran dengan suaminya, Encik Anwar Ibrahim. (Gambar: Dr Wan Azizah Wan Ismail/ Facebook)

Diterbitkan : 15 Jun 2018 04:51PM Dikemas Kini : 15 Jun 2018 04:55PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengambil masa lebih panjang untuk menunaikan semua janji manifesto dalam 100 hari atas faktor hutang negara.

“Kita ada masalah kewangan dan perlu bayar hutang. Jika dahulu kita tidak tahu sejauh mana masalah ini (hutang negara) berlaku. Sekarang kita sudah mendapat tahu tentang masalah ini dan kita mohon sedikit ruang untuk menunaikan semua janji dalam 100 hari,” katanya ketika ditemu ramah hari ini (15 Jun).

Wawancara itu disiarkan secara langsung dari Seri Perdana, Putrajaya, pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri 2018.

Bagaimanapun, tambah beliau, kerajaan PH sudah menunaikan beberapa janji yang dibuat dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar dan menstabilkan harga minyak.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut melahirkan rasa gembira dan bersyukurnya kerana setelah sekian lama beliau dan keluarga dapat meraikan Aidilfitri bersama suaminya Encik Anwar Ibrahim yang baru dibebaskan dari penjara.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyeru rakyat Malaysia supaya terus menjaga keamanan dan perpaduan di negara ini walaupun terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Kita ini unik. Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum dan bangsa. Itu aset yang mesti kita pelihara, pupuk dan perbaiki. Dunia menyaksikan kita dapat menukar kerajaan (Barisan Nasional) yang sudah 61 tahun berkuasa dengan aman dan tenteram,” kata beliau. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan