Skip to main content

Dunia

Pakatan Harapan harus sesuaikan diri sebagai kerajaan M'sia

Pakatan Harapan (PH) dinasihati supaya tidak memiliki mentaliti pembangkang dan sebaliknya, menyesuaikan diri dengan status terkini selaku kerajaan Persekutuan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakatan Harapan harus sesuaikan diri sebagai kerajaan M'sia

Para penyokong Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia. (Gambar: Manan Vatsayana/AFP)

Diterbitkan : 22 Oct 2018 01:32PM Dikemas Kini : 22 Oct 2018 01:41PM

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dinasihati supaya tidak memiliki mentaliti pembangkang dan sebaliknya, menyesuaikan diri dengan status terkini selaku kerajaan Persekutuan.

Profesor Dr Sivamurugan Pandian, seorang penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata pengalaman sebagai pembangkang wajar dijadikan panduan untuk memahami aspirasi rakyat Malaysia.

"Umum maklum hampir 80 peratus pemimpin PH baru dalam kepimpinan di peringkat Persekutuan. Mentaliti dulu pembangkang perlu disesuaikan dengan kedudukan hari ini sebagai kepimpinan Persekutuan.

"Mereka perlu melihat kepada pengalaman lepas dan memahami aspirasi rakyat kini dan juga belajar serta mahu memahami pentingnya prinsip bersedia menerima kedudukan semasa, faham dan hormat persekitaran politik yang kini bukan pembangkang," kata beliau kepada Sinar Harian.

Dr Sivamurugan turut menambah bahawa barisan pemimpin kerajaan hari ini seharusnya menerapkan pendekatan merakyatkan kepimpinan sebagai teras kepimpinan.

Menurut beliau, ini kerana setiap langkah dan dasar serta ungkapan dan pandangan diperhati dan diteliti.

Sinar Harian menukil Dr Sivamurugan sebagai berkata: "Pemimpin juga wajar beristiqamah dan bermusyawarah serta berbincang untuk menyerap kepentingan sistem penyampaian mereka."

"Bukan itu sahaja, pegawai berwibawa juga perlu untuk menasihati dan menerangkan risiko dan maklum balas yang akan diterima daripada umum," ujarnya.

Para pemimpin kerajaan Malaysia juga dinasihati supaya bersedia untuk mengakui kesilapan dan tidak gelojoh dalam membuat keputusan.

"Bahkan dalam mendokong aspirasi PH, sentiasa bersedia ditegur dan bertindak sebagai satu pasukan PH.

"Disekolahkan bertujuan memahami 'mindset', keperluan dan kemahuan umum untuk membina keyakinan dan kepercayaan, juga membuat keputusan popular dan tidak popular tetapi tidak jejaskan legitimasi politik dan moral serta kekalkan integriti politik," tambah beliau.

Pada Sabtu, wartawan veteran A. Kadir Jasin berkata bahawa pemimpin PH yang memegang jawatan perlu 'disekolahkan' sebelum rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan sekarang.

Menurut laporan Astro Awani, beliau yakin para menteri akan meraih manfaat jika 'disekolahkan' bagi mengubah acuan minda mereka dari pembangkang kepada kerajaan. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita