Pakatan Harapan, Barisan Nasional bakal namakan calon PRK Tanjung Piai
Teka-teki mengenai siapa calon yang bakal disandarkan harapan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Tanjung Piai akan terjawab petang ini (28 Okt).
(Gambar: BERNAMA)
PONTIAN: Teka-teki mengenai siapa calon yang bakal disandarkan harapan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Tanjung Piai akan terjawab petang ini (28 Okt) apabila kedua-dua pakatan tersebut dijangka membuat pengumuman khas hampir serentak di Pontian.
Pengumuman itu dibuat berbaki lima hari lagi menjelang hari penamaan calon pada Sabtu (2 Nov) ini.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi PH Johor, akan mengetuai barisan kepimpinan PH Johor untuk mengumumkan calon pilihan PH di satu majlis memperkenalkan calon pada pukul 2.00 petang.
Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal, yang juga Pengarah Jentera PH bagi PRK, kali ini dijangka menghadiri majlis tersebut selain barisan kepimpinan PH yang lain termasuk Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.
Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai Karmaine Sardini adalah antara tiga nama yang dilaporkan disenarai pendek untuk menjadi calon PH-Bersatu bagi PRK ini selepas penyandangnya, Dr Md Farid Mr Rafik, meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Karmaine, yang pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Pontian pada Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14), tewas kepada Ahmad Maslan (BN-UMNO).
Ahmad menang tipis dengan memperolehi 21,132 undi manakala Karmaine meraih 20,299 undi.
Sementara itu, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi pula bakal melancarkan Jentera BN pada pukul 3.30 petang.
Majlis tersebut, yang dijangka dihadiri parti komponen termasuk MCA, turut memberi isyarat akan memperkenalkan calon bagi merebut kerusi parlimen Tanjung Piai.
MCA, yang pernah bertanding bagi kerusi tersebut, dijangka mempertaruhkan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai Wee Jeck Seng.
Wee pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada tahun 2013 hingga 2018 dan sebelumnya, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas.
Pada PRU14, Wee tewas kepada Dr Md Farid ketika bertanding bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 524 undi.
PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.