Pakar ragu ada varian 'deltacron', mungkin akibat kesilapan makmal

(Gambar: SOPA Images)
NEW YORK: Pakar kesihatan sedunia melahirkan rasa ragu-ragu tentang laporan kemungkinan mutasi COVID-19 baru yang menggabungkan varian Delta dan Omicron, dinamakan "deltacron". Mereka berkata besar kemungkinan "varian" COVID-19 itu adalah akibat kesilapan pemprosesan di makmal.
Pada hujung minggu lalu, Bloomberg News melaporkan seorang Profesor Sains Biologi di Universiti Cyprus, Leondios Kostrikis membuat penemuan varian baru COVID-19 yang dinamakan "deltacron", kerana ada tanda genetik seperti Omicron dalam genom Delta.
Profesor Kostrikis dan pasukannya mengenal pasti 25 kes sedemikian dengan laporan itu menambah bahawa setakat ini, masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada terdapat lebih banyak kes jenis varian baru tersebut ataupun kesan varian tersebut.
Bloomberg melaporkan hasil dapatan itu sudah pun dihantar ke Gisaid, sebuah pangkalan data antarabangsa yang menjejaki perubahan virus, pada 7 Januari.
Beberapa pakar sejak itu melahirkan nrasa ragu-ragu tentang hasil penemuan tersebut, dengan seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuat naik catatan ke Twitter Ahad (9 Jan) bahawa "deltacron", yang sedang tular di wadah media sosial pada hujung minggu, "tidak nyata" dan "mungkin kerana artefak penjujukan", variasi yang diperkenalkan proses tidak semula jadi.
Pakar COVID WHO Dr Krutika Kuppali mengatakan di Twitter, dalam kes tersebut, kemungkinan ada "pencemaran makmal dari cebisan Omicron dalam spesimen Delta".
Dalam satu catatan yang lain, beliau berkata: "Jangan gabungkan nama penyakit berjangkit, biarkan itu kepada pasangan selebriti".
Saintis lain juga sepakat bahawa penemuan itu mungkin disebabkan kesilapan makmal, dengan pakar virologi Dr Tom Peacock dari Kolej Imperial London memuat naik di Twitter bahawa "urutan 'Deltacron Cyprus' yang dilaporkan oleh beberapa media utama kelihatan jelas seperti hasil pencemaran."
Dalam satu catatan yang lain, beliau berkata "beberapa dari kami sudah melihat urutannya dan sampai pada kesimpulan yang sama bahawa ia tidak kelihatan seperti rekombinan yang nyata," merujuk pada kemungkinan urutan bahan genetik.
Fatima Tokhmafshan, ahli genetik di Institut Penyelidikan Pusat Kesihatan Universiti McGill di Montreal, setuju, dengan tweet bahawa “ini BUKAN rekombinan tetapi lebih tepatnya pencemaran makmal” kerana melihat laporan dihantar ke GISAID baru-baru ini dari Cyprus, kelompok & profil mutasi menunjukkan TIDAK ADA konsensus mutasi.”
Seorang lagi saintis, Dr Boghuma Kabisen Titanji, pakar penyakit berjangkit di Universiti Emory di Atlanta, menyarankan pendekatan berhati-hati. Menurut muatannya di Twitter Ahad (9 Jan), "Tentang kisah #deltacron, oleh kerana saya sudah ditanya berkali-kali sejak 24 jam, harap membuat penakrifan dengan berhati-hati. Maklumat yang sedia ada menunjukkan pencemaran sampel dan bukan gabungan varian #delta dan #omicron."
Namun, beliau juga mencatatkan kemungkinan gabungan bahan genetik varian Delta dan Omicron berpotensi berlaku kerana dua-dua varian itu terus merebak, dan merupakan satu kemungkinan yang membimbangkan.
Profesor Leondios Kostrikis yang mengumumkan penemuan "deltacron" itu pula, mempertahankan hasil penemuannya dan memberitahu Bloomberg pada Ahad (9 Jan) dapatan itu bukan disebabkan "kesilapan teknikal".
Dalam satu kenyataan emel, Kostrikis berkata kes yang dikesannya "menunjukkan tekanan luar biasa kepada urutan sebelum ini untuk mendapatkan mutasi sedemikian rupa dan bukan hasil satu proses penggabungan."
Beliau juga dilaporkan sebagai berkata hasil dapatan tersebut muncul selepas sampel diproses menerusi beberapa prosedur turutan di lebih satu negara dan sekurang-kurangnya satu urutan daripada Israel yang dimuat naik ke pangkalan data sedunia menunjukkan ciri-ciri genetik "deltacron".
Menteri Kesihatan Cyprus, Michael Hadjipantela, berkata pada Sabtu (8 Jan) bahawa kementerian tersebut sedia maklum laporan tentang "deltacron" dan ia bukan sesuatu yang harus menjadi keprihatinan buat masa ini, menurut laporan media tempatan.
Lebih banyak maklumat tentang varian berkenaan akan dibentangkan minggu ini, kata Hadjipantela lagi, sambil menambah beliau bangga dengan saintis negara tersebut atas penemuan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.