Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pakar penyakit berjangkit persoal cuti umum rai kemenangan KL City FC di tengah pandemik

Seorang pakar penyakit berjangkit di Malaysia mempersoal pengumuman cuti umum tambahan bagi meraikan kemenangan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam kejohanan bola sepak Piala Malaysia baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakar penyakit berjangkit persoal cuti umum rai kemenangan KL City FC di tengah pandemik

Pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) raikan kemenangan Piala Malaysia pada 30 Nov 2021 (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Dec 2021 12:22PM Dikemas Kini : 02 Dec 2021 12:25PM

KUALA LUMPUR: Seorang pakar penyakit berjangkit di Malaysia mempersoal pengumuman cuti umum tambahan bagi meraikan kemenangan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam kejohanan bola sepak Piala Malaysia baru-baru ini.

Malaysiakini melaporkan, pakar perubatan itu Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman berpendapat bahawa pengisytiharan tersebut menjejaskan jadual peperiksaan perubatan profesional yang sudahpun terkesan akibat penularan COVID-19 dan perintah kawalan pegerakan.

"Wow, adakah (cuti) ini benar-benar perlu?," soal Dr Adeeba di Twitter hari ini (2 Dis).

“Ia menyebabkan peperiksaan profesional pakar kami, klinik dan jadual bilik pembedahan semuanya menjadi huru-hara.

"Kami benar-benar tidak memerlukan ini, terutamanya bukan pada masa kami mempunyai begitu banyak perkara yang perlu dilakukan akibat COVID-19," kata Dr Adeeba lagi.

Menurut Malaysiakini, Dr Adeeba adalah ahli jawatankuasa Majlis Sains, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan bekas dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya.

Semakan online juga menunjukkan beliau memegang jawatan presiden Persatuan AIDS Sedunia (IAS)

Pada Rabu (1 Dis), Menteri Wilayah Persekutuan Dr Shahidan Kassim mengisytiharkan Jumaat ini sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan di seluruh Wilayah Persekutuan susulan pasukan KL City FC merangkul kejuaraan Piala Malaysia.

Dalam sidang media khas di Putrajaya, beliau berkata pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan itu dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Wilayah Persekutuan.

“Kemenangan semalam (Selasa) adalah pencapaian terbaik KL City FC setelah 32 tahun penantian untuk menjuarai Piala Malaysia dengan kali terakhir kemenangan pada 1989,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Ditanya mengenai imbuhan kepada pemain KL City FC, Dr Shahidan berkata ia akan diumumkan dalam masa terdekat. 

Pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa menerima kekalahan 0-2 di tangan KL City FC, sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi Harimau Selatan itu pada 2019.

Sumber : Agensi berita/BERNAMA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan