Pakar M'sia nasihat pesakit barah jalani rawatan dan bukan percaya 'kemoterapi' bomoh

Gambar Hiasan: Unsplash
PADANG TERAP: Kebanyakan pesakit barah didapati sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mendapatkan rawatan alternatif, berbanding hospital kerana dimomokkan dengan prosedur rawatan barah yang menyakitkan dan menyeksa mereka.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal, yang mengakui kebanyakan pesakit barah di Malaysia sanggup berjumpa bomoh untuk mendapatkan penawar bagi menyembuhkan sakit barah yang dialami.
Beliau berkata, ada sebahagian mereka mengadu sudah terlambat untuk mendapatkan rawatan di hospital selepas barah yang dihidapi sudah merebak di peringkat akhir kerana lebih percayakan bomoh sehingga menyebabkan wang simpanan habis, seperti dinukil daripada BH Online.
"Saya nasihatkan semua pesakit barah, tolonglah dapatkan rawatan awal di hospital sebaik dikesan menghidap apa juga barah kerana hanya rawatan hospital dapat membantu memulihkan sakit yang dialami.
"Pesakit barah biasanya perlukan wang yang banyak untuk menjalani rawatan dan bukannya untuk dibayar kepada bomoh dan membeli produk kesihatan tanpa saranan doktor," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada pesakit barah, di Padang Terap, hari ini (31 Mei).
Pesakit barah otak, Che Intan Md Zain, 60 tahun, berkata beliau kini hilang segala-galanya selepas terpaksa menjual rumah, barang kemas serta wang simpanan gaji dianggarkan lebih RM60,000 (S$ 18,776) kerana percayakan bomoh yang diperkenalkan oleh rakannya.
Kata beliau, sejak dikesan menghidap penyakit itu beliau dihantui kebimbangan memandangkan tahap kesihatannya terganggu, selain ketumbuhan pada otak sebelah kiri semakin membesar.
"Saya mula sakit pada tahun 2011 dan bekerja di sebuah kilang di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
"Sebelum itu, saya sudah menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang untuk membuang ketumbuhan di sebelah kiri, selain menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan Pengimejan Resonans Magnetic (MRI).
"Seorang rakan menasihati supaya bertemu dengan seorang bomoh terkenal di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan saya terus bersetuju untuk bertemunya asalkan barah dialami sembuh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 3 1/3 Jalan Pokok Sena, di Padang Terap, hari ini (31 Mei).
Cik Che Intan berkata, bomoh lelaki berusia lewat 40-an itu menasihatkannya supaya tidak menjalani rawatan di hospital jika berubat dengannya dengan syarat tertentu, lapor BH Online.
"Beliau suruh saya cari kain putih orang mati kena bunuh hari Selasa, tanah kubur selain memaklumkan dalam badan saya ada gangguan makhluk halus.
"Saya tidak dapat cari kain itu, tetapi dia minta saya bayar RM2,000 (S$626.10) untuk beliau tolong carikan selain banyak lagi wang yang perlu dibayar selepas itu dengan alasan untuk perubatan saya," katanya.
Beliau berkata, akibatnya keadaan kesihatan terus merosot hingga menyebabkan ketumbuhan pada otaknya semakin membesar sehingga sekarang dan penglihatan juga kabur serta terpaksa dipapah ketika berjalan, lapor BH Online.
"Saya hilang segala-galanya sekelip mata dan kini terpaksa menumpang tinggal di rumah ibu, Hatijah Long, 84 tahun, yang semakin uzur.
"Saya juga malu dengan semua orang, termasuk ahli keluarga. Suami, Maznan Mohd Din, 60 tahun, sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan, tetapi kini tidak bekerja kerana sudah berusia," kata beliau.
Terdahulu, Cik Che Intan menerima sumbangan wang tunai daripada Cik Zuraini, barangan keperluan harian serta telekung untuk kegunaan harian, selain sokongan moral kepadanya untuk meneruskan kehidupan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.