Skip to main content

Dunia

Pakar mahu Ismail Sabri gesa tindakan segera tangani perubahan iklim di UNGA ke-77

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Berikutan keadaan cuaca yang ekstrem di beberapa kawasan di dunia, para pakar mahu Perdana Menteri Ismail Sabri menggesa para pemimpin dunia supaya mengambil tindakan segera ke atas perubahan iklim pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77.

Profesor dan Pengarah Eksekutif Pusat Kesihatan Planetari Sunway Centre Malaysia, Dr Jemiah Mahmood berkata kesepaduan sangat diperlukan ketika krisis kali ini bagi memacu transformasi global ke arah ekonomi planetari baru.

“Kita perlukan para pemimpin dunia untuk mengesahkan mengenai perlunya kita menurunkan suhu, kita perlu kekalkan bahan api fosil di tempatnya.

“Kita perlu segera beralih kepada bentuk ekonomi baru. Saya harap beliau (perdana menteri) akan bersuara lantang dan jelas,” katanya pada bual bicara The Nation Bernama TV pada Isnin (19 Sep).

Encik Ismail Sabri dijangka berucap di UNGA ke-77 pada 23 September.

Dr Jemiah berkata Malaysia sudah membuktikan komitmennya terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menerusi penubuhan Pusat SDC Nasional yang bermatlamat memperkasa dan meningkatkan program ke arah masa depan negara yang lebih baik dan mampan.

“Belum ada pusat seumpama ini di rantau ini. Oleh itu saya berpendapat perdana menteri wajar bangga untuk menyatakan bahawa Malaysia sudah melabur dalam bidang tersebut serta komited memandangkan ia dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12. Kita perlu tunjuk kepada dunia cara melakukannya,” kata beliau.

Sementara itu, seorang lagi pakar, Peter Nicol berkata Malaysia mampu meletakkan negara itu sebagai peneraju dunia dari segi agenda hijau (mesra alam) dan tenaga baru.

Namun, penganalisis global berkata kunci kepada pembangunan mampan ialah kesediaan setiap pemerintah untuk menjayakan agenda berkenaan.

“Ini kerana kunci kepada kejayaannya bukan terletak di tangan PBB. Ia boleh ketengahkan, beri amaran dan boleh memberi penyelesaiannya.

“Namun, terpulang kepada setiap pemerintah yang bertanggungjawab untuk mengambill maklum dan bertindak melaksanakannya di negara masing-masing,” kata beliau.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita