Skip to main content

Dunia

Pakar gesa Yangon pertingkat pemeriksaan bangunan susuli gegaran gempa susulan luar biasa

Sebuah badan pemantau gempa bumi menggesa pihak berkuasa di Yangon supaya memperhebat pemeriksaan bangunan menyusuli beberapa gegaran susulan luar biasa yang dicetuskan oleh gempa bumi yang melanda bandar terbesar Myanmar itu bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakar gesa Yangon pertingkat pemeriksaan bangunan susuli gegaran gempa susulan luar biasa

Sebuah badan pemantauan gempa bumi menggesa pihak berkuasa di Yangon supaya memperhebat pemeriksaan bangunan susulan beberapa gegaran susulan luar biasa. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 19 Jun 2026 08:42PM
YANGON: Sebuah badan pemantau gempa bumi menggesa pihak berkuasa di Yangon supaya memperhebat pemeriksaan bangunan menyusuli beberapa gegaran susulan luar biasa yang dicetuskan oleh gempa bumi yang melanda bandar terbesar Myanmar itu bulan lalu.

Jawatankuasa Gempa Bumi Myanmar mencadangkan satu projek perintis bersama Jawatankuasa Pembangunan Bandar Yangon (YCDC), yang bertujuan untuk menilai integriti struktur bangunan dan memperkukuh kesiapsiagaan bandar itu dalam menghadapi bencana.

Pada 18 Mei, Yangon dilanda gempa bumi berukuran 5.2 pada skala Richter, diikuti beberapa gegaran susulan dalam tempoh sehari - satu kejadian yang disifatkan para pakar sebagai luar biasa bagi bandar berkenaan.

"Rancangannya adalah untuk menjalankan pemeriksaan visual menyeluruh di sebatang jalan atau sebuah kawasan kejiranan dan membentangkan hasil penemuan kami," kata Naib Pengerusi jawatankuasa itu, Saw Htwe Zaw.

"Sebaik sahaja kami dapat menunjukkan nilai praktikal kajian perintis ini kepada para pegawai kanan, projek tersebut boleh diperluaskan secara sistematik ke seluruh bandar dan daerah."

Menurut Encik Saw Htwe Zaw, kebanyakan bangunan tinggi di Yangon secara amnya dibina mengikut piawaian keselamatan, dengan langkah kawalan mutu diterapkan sejak peringkat awal pembangunan.

Namun, masih terdapat jurang yang ketara, khususnya dalam kalangan bangunan lama dan bangunan kecil, kata beliau.

Kekangan dalam keupayaan pemeriksaan sebelum ini menyebabkan semakan bangunan secara mandatori hanya dikenakan terhadap bangunan yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan atau sembilan tingkat, sekali gus menyebabkan bangunan yang lebih kecil sebahagian besarnya tidak tertakluk kepada pemeriksaan.

Tambah Encik Saw Htwe Zaw, banyak bangunan lama yang rendah dan mempunyai ketinggian sederhana dibina sebelum proses pemeriksaan rasmi diperkenalkan, dengan daya tahan terhadap gempa bumi tidak diambil kira dalam reka bentuknya.

Antara keutamaan YCDC kini adalah untuk menilai bangunan sedia ada, termasuk hospital, sekolah dan pasar awam.

Encik Saw Htwe Zaw turut menjelaskan proses penilaian yang melibatkan tiga peringkat.

"Pertama, kami menjalankan pemeriksaan visual asas untuk menganggarkan usia bangunan, jenis pembinaan dan susun atur strukturnya bagi menilai tahap ketahanan awalnya," kata beliau.

"Kedua, jika sesebuah bangunan menunjukkan tanda-tanda kerosakan pada peringkat ini, kami akan menjalankan pemeriksaan yang lebih terperinci.

"Ketiga, jika keadaannya masih dianggap kritikal, kami akan menjalankan pemeriksaan kejuruteraan struktur secara menyeluruh - sama seperti yang dilakukan bagi bangunan baharu - untuk mengenal pasti dengan tepat bahagian yang perlu diperkukuh atau dibaiki."

PENDUDUK MASIH BIMBANG

Pemeriksaan tersebut boleh membantu meyakinkan para penduduk selepas beberapa gempa bumi kecil melanda beberapa kawasan di Yangon pada Jun.

"Terdapat rekahan yang jelas kelihatan serta kerosakan kecil pada struktur perumahan Yuzana," kata seorang penduduk.

"Bukannya orang ramai tidak memahami apa yang perlu dilakukan atau tidak sedar bangunan itu mungkin tidak selamat. Mereka tahu risikonya, tetapi ramai yang tiada pilihan selain untuk terus tinggal di situ."

Penduduk itu menambah bahawa kesukaran ekonomi kekal menjadi halangan utama bagi banyak keluarga.

"Hakikatnya, ramai rakyat Myanmar hidup dalam kemiskinan yang meluas. Di kawasan kejiranan biasa, anda boleh menemui keluarga yang tinggal di rumah-rumah yang diperbaiki menggunakan guni plastik. Mereka sememangnya hidup dalam keadaan yang sangat miskin."

Perkembangan itu berlaku sedang negara Asia Tenggara tersebut memperhebat usaha kesiapsiagaan bencana di seluruh negara.

Pada Mac 2025, gempa bumi dahsyat berukuran 7.7 pada skala Richter melanda bandar kedua terbesar negara itu, Mandalay.

Bencana tersebut mengorbankan lebih 3,800 orang dan menyebabkan kemusnahan besar.

Beberapa kawasan di Myanmar - termasuk wilayah yang terletak lebih jauh ke selatan - terus mengalami aktiviti seismik sejak itu.

Walaupun bencana di Mandalay kekal sebagai salah satu bencana alam paling membawa maut dalam sejarah moden Myanmar, para pakar berkata ia turut memberikan pengajaran penting bagi negara itu untuk membuat persiapan yang lebih baik bagi menghadapi gempa bumi pada masa hadapan.

"Bagi Yangon, kami kini mendapat manfaat daripada pengalaman yang diperolehi menerusi bencana di Mandalay," kata Encik Saw Htwe Zaw.

"Oleh kerana kami tahu apa yang tersilap, kami telah pun mewujudkan rangkaian dan melakarkan hubungan dengan pelbagai organisasi di Yangon yang memiliki jentera berat," katanya.

Beliau menambah pihak berkuasa kini mempunyai pemahaman yang lebih jelas mengenai sumber kecemasan yang tersedia.

"Kami kini tahu dengan tepat pasukan mana mempunyai peralatan tertentu. Dengan memastikan inventori ini sentiasa tersedia, kami boleh segera menggerakkan dan menyelaraskan bantuan jika berlaku gempa bumi."

Pemerintah Myanmar yang dipimpin mantan ketua tentera Min Aung Hlaing turut mengambil langkah untuk memperkukuh keupayaan pengurusan bencana.

Langkah tersebut merangkumi penubuhan sebuah pusat operasi kecemasan di Yangon dengan sokongan India.

India turut menyediakan peralatan dan bantuan yang bertujuan membantu Myanmar bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap bencana pada masa hadapan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita