Pakar ekonomi saran Tabung Haji guna 5 lapisan kawalan urus risiko pelaburan
Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai menyarankan Lembaga Tabung Haji (TH) memperkukuh pengurusan risiko pelaburannya dengan menggunakan sekurang-kurangnya lima lapisan kawalan. (Gambar fail: Bernama)
- Lembaga Tabung Haji (TH) disaran memperkukuh pengurusan risiko pelaburan dengan lima lapisan kawalan, termasuk penilaian wajar dan sistem amaran awal.
- Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan kerugian hampir RM13 bilion antara 2014 hingga 2020 akibat kelemahan pengurusan pelaburan TH.
- Pakar mencadangkan pemisahan kuasa antara Menteri Agama dan Menteri Kewangan serta pelantikan profesional bebas politik dalam pengurusan tertinggi TH.
- Laporan RCI mengemukakan 25 syor penambahbaikan, antaranya larangan ahli politik aktif dalam Lembaga Pengarah dan penubuhan badan bebas pelantikan anggota lembaga.
Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata antara langkah itu ialah melaksanakan penilaian wajar yang lebih ketat sebelum membuat sesuatu pelaburan.
TH juga perlu menetapkan had pendedahan mengikut aset, sektor, negara dan pihak urus niaga serta memastikan pengurusan risiko bebas mempunyai kuasa untuk mencabar keputusan pelaburan.
Menurut Profesor Barjoyai, institusi itu juga perlu mempunyai sistem amaran awal apabila prestasi pelaburan merosot serta strategi untuk keluar daripada sesuatu pelaburan apabila asas ekonominya mula terjejas.
"Lima lapisan kawalan ini merupakan amalan standard dalam disiplin pengurusan aset profesional," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang mengamalkan lima lapisan kawalan tersebut.
KERUGIAN HAMPIR RM13 BILION
Profesor Barjoyai berkata kelemahan pengurusan pelaburan TH sebelum ini harus dijadikan pengajaran untuk memperkukuh pengurusan risiko institusi tersebut.
Menurutnya, kerugian merupakan sebahagian daripada risiko pelaburan, namun persoalan lebih penting adalah bagaimana sistem pengurusan risiko membolehkan sesetengah pelaburan kehilangan sehingga 100 peratus nilainya.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH yang didedahkan kepada umum baru-baru ini menunjukkan institusi itu mengalami kerugian hampir RM13 bilion (S$4.08 bilion) menerusi 14 pelaburan bermasalah.
Tujuh daripadanya mencatatkan kerugian 100 peratus.
Kerugian hampir RM13 bilion itu merangkumi RM10.2 bilion (S$3.20 bilion) yang ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 serta rosot nilai RM2.6 bilion (S$815.5 juta) yang ditanggung TH antara 2018 hingga 2025 bagi pelaburan yang masih diuruskan.
Pelaburan TH bernilai 1.4 bilion riyal Saudi (S$478.3 juta), atau sekitar RM1.5 bilion (S$470.5 juta), dalam syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek Arab Saudi, Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd, mencatatkan kerugian terbesar dalam senarai tersebut.
ASINGKAN KEPUTUSAN PELABURAN, PENGAWASAN RISIKO
Profesor Barjoyai turut menekankan perlunya pemisahan yang jelas antara pihak yang membuat keputusan pelaburan dengan pihak yang mengawasi risikonya.
"Mereka yang membuat keputusan pelaburan tidak sepatutnya menjadi pihak yang menentukan sendiri sama ada keputusan itu masih selamat," katanya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata golongan profesional yang mempunyai integriti tinggi perlu ditempatkan dalam kepimpinan TH.
Menurut beliau, keputusan pelaburan memerlukan pertimbangan kompleks serta pengetahuan dan pengalaman yang luas.
Ia merangkumi pentadbiran di peringkat lembaga pengarah, panel pelaburan dan kakitangan pengurusan.
SOKONG PEMISAHAN KUASA MENTERI
Mengulas syor RCI supaya kuasa Menteri Agama dan Menteri Kewangan dipisahkan, Profesor Barjoyai berkata langkah itu penting bagi mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh.
Beliau berkata TH bukan sekadar sebuah syarikat pelaburan atau agensi kerajaan kerana ia menguruskan wang orang ramai yang disimpan bagi tujuan menunaikan haji.
Menurut beliau, Menteri Agama boleh memberi tumpuan kepada kepentingan pendeposit dan urusan haji, manakala Kementerian Kewangan memainkan peranan dari sudut fiskal dan kewangan negara.
Namun, beliau menegaskan perkara lebih penting ialah memastikan lembaga, tadbir urus pelaburan, jawatankuasa risiko dan pengawasan audit beroperasi secara profesional dan bebas.
Dr Mohd Afzanizam turut menyokong pemisahan kuasa tersebut, sambil berkata pembahagian tanggungjawab yang jelas dapat melicinkan pentadbiran TH.
SARAN LANTIK GOLONGAN PROFESIONAL
Felo Majlis Profesor Negara Prof Dr Azmi Hassan pula berkata kerajaan perlu menunjukkan bahawa pengurusan TH bebas daripada tekanan politik bagi memulihkan keyakinan pendeposit.
Beliau menyarankan golongan profesional yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik dilantik dalam pengurusan tertinggi TH.
Kerajaan Malaysia pada 29 Julai lalu mendedahkan laporan RCI TH setebal 211 halaman yang mengandungi penemuan mengenai kelemahan pengurusan dan operasi institusi itu antara 2014 hingga 2020.
Laporan tersebut mengemukakan 25 syor penambahbaikan, termasuk melarang ahli politik aktif menyertai Lembaga Pengarah TH, memisahkan kuasa Menteri Agama dengan Menteri Kewangan serta menubuhkan badan bebas bagi pelantikan anggota lembaga.
Dewan Rakyat turut mengadakan sidang khas pada 11 Ogos bagi membahaskan laporan RCI tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.