Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pakar bahasa Malaysia pertahan penguasaan bahasa Melayu belia SG

Anggaran Waktu Membaca:
Pakar bahasa Malaysia pertahan penguasaan bahasa Melayu belia SG

(Gambar: Facebook/ Awang Sariyan)

Diterbitkan : 25 Aug 2023 02:36PM Dikemas Kini : 26 Aug 2023 08:44PM

KUALA LUMPUR: Seorang pakar bahasa dari Malaysia, Profesor Awang Sariyan, menyangkal kenyataan ramai pengguna media sosial bahawa belia Singapura tidak fasih dalam bahasa Melayu.

Perbahasan mengenai kefasihan belia Singapura bercakap dalam bahasa Melayu tercetus selepas video Ekspre-Z, iaitu platform suara belia di akaun TikTok BERITAmediacorp, menjadi tular.

Video itu menerima reaksi bercampur baur, baik dari dalam negara dan juga luar negara, khususnya dalam kalangan pengguna media sosial dari Malaysia. Apabila video itu dimuat naik semula ke platform X, ramai mengecam belia Singapura kerana tidak fasih bercakap bahasa kebangsaan.

Mereka menekankan bahawa penguasaan bahasa Melayu adalah perkara yang penting.

Ada juga pengguna lain yang mengecam loghat Inggeris para belia ketika bercakap dalam bahasa Melayu.

"Hakikatnya mereka tidak bercakap dalam bahasa Inggeris yang betul, mereka bercakap Singlish," tulis pengguna nrhnsharol, seperti yang dipetik Yahoo! News.

Sekalipun demikian, terdapat beberapa pengguna yang membela belia Singapura tersebut dengan menyatakan isu yang sama turut berlaku di Malaysia. Mereka berkata bahawa warga Malaysia sering berdepan kesukaran memahami dan bercakap dalam bahasa Inggeris secara berkesan. Mereka juga menekankan bahawa kesukaran penguasaan bahasa wujud di kedua-dua negara.

PENDAPAT SEORANG PAKAR BAHASA TENTANG ISU TERSEBUT

Ulasan Profesor Awang menjelaskan kerumitan tentang isu tersebu dan menggesa agar ia difahami dengan lebih mendalam berbanding setakat membuat andaian.

"Isu tentang belia Melayu di Singapura dianggap tidak fasih dalam bahasa Melayu patut dikaji untuk mengelak andaian," kata Profesor Awang, seperti dinukil Yahoo! News.

"Secara amnya, isu itu bangkit disebabkan bahasa utama bagi urusan pentadbiran, pendidikan, perniagaan, media dan komunikasi adalah bahasa Inggeris. Meskipun ia benar bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan salah satu daripada empat bahasa rasmi Singapura, bahasa Inggeris adalah dominan dalam kehidupan seperti yang saya sebutkan. Disebabkan konteks ini, isu ini berlaku secara semula jadi," katanya.

Sungguhpun demikian, Profesor Awang turut menarik perhatian kepada usaha yang dilaksanakan oleh pemerintah Singapura untuk meningkatkan status dan penggunaan bahasa Melayu.

Beliau berkata penubuhan Pusat Bahasa Melayu Singapura di bawah Kementerian Pendidikan (MOE), kehadiran Anggota Parlimen (AP) yang menggunakan bahasa Melayu semasa sesi parlimen dan kefasihan Perdana Menteri dalam bahasa Melayu ketika berucap dalam acara kebangsaan dipetik sebagai contoh usaha-usaha tersebut.

Profesor Awang juga menarik perhatian kepada peranan penting yang dimainkan ibu bapa dalam memupuk penguasaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan generasi muda masyarakat Melayu, menurut Yahoo! News.

Pemahaman konteks sosiobudaya adalah penting ketika menilai penguasaan bahasa dalam kalangan belia Singapura, kata Encik Awang.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan