Skip to main content

Dunia

Pahang, Perlis dan Perak adakan PRN serentak PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pahang, Perlis dan Perak kini sah akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) masing-masing serentak dengan peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) susulan pembubaran Parlimen Malaysia ke-14, berkuat kuasa 10 Okt.

Ia berikutan langkah Pahang dan Perlis membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada 14 Okt lepas dan Perak pada Isnin (17 Okt), bagi membolehkan pilihan raya bagi kerusi DUN dan Parlimen dilaksanakan bersekali.

Ketika Perdana Menteri negara itu Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14, beliau turut mengesyorkan negeri-negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk membubarkan DUN masing-masing, bagi membolehkan PRN dan Parlimen diadakan serentak. 

“Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap,” kata Encik Ismail Sabri.

Berdasarkan garis masa, Pahang pada 14 Okt lalu adalah yang pertama mengumumkan pembubaran DUN dalam sidang media khas Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail, setelah diperkenankan Pemangku Raja Pahang Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia diikuti Perlis pada hari sama yang mengisytiharkan pembubaran DUN oleh Menteri Besar Azlan Man setelah diperkenan Raja Perlis Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam sesi menghadap di Galeri Diraja Arau pada 13 Okt.

Pada Isnin (17 Okt), Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dalam sidang media mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Sultan Perak Nazrin Shah menerusi warkah pengisytiharan daripada baginda semalam.

Encik Saarani menghadap Sultan Nazrin berkaitan pembubaran DUN Perak sebanyak dua kali iaitu kali pertama pada 12 Oktober, sebelum dititahkan sekali lagi untuk menghadap pada Jumaat lepas (14 Okt).

Menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pahang mempunyai 14 Parlimen dengan 42 DUN, Perlis tiga Parlimen dan 15 DUN, manakala Perak 24 Parlimen dan 59 DUN.
 

PAS yang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN di ketiga-tiga negeri itu selepas ia dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 13 Oktober lepas.

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Sabtu (15 Okt) memutuskan untuk tidak membubarkan tiga DUN di bawah pentadbiran PH iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, meskipun Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan mahu DUN Pulau Pinang dibubarkan agar PRN berjalan serentak dengan PRU15.

Walaupun terdapat beberapa negeri enggan membubarkan DUN masing-masing, Encik Ismail Sabri dilaporkan berkata PRU15 tetap akan diteruskan.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah pada 20 Oktober nanti.
 
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita