Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pahang negeri ketiga isytihar amalan GISBH sesat

Pahang menjadi negeri ketiga, selepas Perlis dan Selangor, yang mengisytiharkan amalan dan kepercayaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) sebagai menyeleweng dan sesat.

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pahang menjadi negeri ketiga, selepas Perlis dan Selangor, yang mengisytiharkan amalan dan kepercayaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) sebagai menyeleweng dan sesat.

GISBH dikaitkan dengan kegiatan mengeksploit kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaksuban pada agama.

Ketetapan itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang dalam mesyuarat khas yang bersidang pada Rabu lalu (2 Okt).

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga telah mengarahkan supaya ia diedarkan kepada umum.

Mufti Pahang Prof Dr Asmadi Mohamed Naim berkata ketetapan itu adalah berdasarkan dua kepercayaan yang didakwa berlaku dalam kumpulan berkenaan, iaitu meneruskan kepercayaan dan amalan dalam Aurad Muhammadiah yang dibawa oleh al-Arqam yang telah diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994.

Dr Asmadi menambah, pengikut GISBH juga percaya bahawa pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad yang telah meninggal dunia pada 2010, tidak mati tetapi sebaliknya sekadar ghaib.

Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang juga memutuskan bahawa sistem ekonomi yang dibangunkan oleh pengikut GISBH tidak diiktiraf sebagai ekonomi Islam dan tidak menepati syarak.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) sudah membuat keputusan berkaitan pandangan hukum terhadap doktrin fahaman GISBH dalam mesyuarat pada 23 dan 24 September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pandangan hukum berkenaan akan dibawa ke Majlis Raja-raja yang akan bersidang pada 23 dan 24 Oktober ini bagi mendapatkan kelulusan.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan