Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Paderi Perancis dipenjara atas kesalahan seksual

Seorang paderi Perancis dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun pada Jumaat (1 Feb), dengan dua tahun tanpa diberi parol, bagi kesalahan melakukan serangan seksual terhadap empat jemaah gereja yang terdiri daripada perempuan-perempuan muda. 

Anggaran Waktu Membaca:
Paderi Perancis dipenjara atas kesalahan seksual

(Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 02 Feb 2019 05:43PM Dikemas Kini : 02 Feb 2019 05:46PM

COLMAR, PERANCIS: Seorang paderi Perancis dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun pada Jumaat (1 Feb), dengan dua tahun tanpa diberi parol, bagi kesalahan melakukan serangan seksual terhadap empat jemaah gereja yang terdiri daripada perempuan-perempuan muda. Salah seorang daripada mereka hanya berusia sembilan tahun apabila kesalahan itu mula dilakukan.

Paderi berkenaan juga didapati bersalah menggelapkan 100,000 euro (S$155,000) untuk memberi upah kepada salah seorang mangsanya.

Perbicaraan kes itu diadakan secara tertutup di Mahkamah Jenayah Colmar di bahagian timur laut Perancis, yang kemudian mengumumkan keputusan hukuman tersebut secara terbuka pada lewat Jumaat (1 Feb).

Paderi berusia 60 tahun itu harus menjalani hukuman penjara selama sekurang-kurangnya dua tahun dan dikenakan sekatan bagi baki tempoh hukuman tersebut. Dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Paderi berkenaan juga harus menjalani rawatan psikologi. Menurut para peguamnya, dia sudah mula menjalani rawatan tersebut.

Di bawah hukuman itu, dia dilarang menghubungi para mangsa atau melakukan sebarang kegiatan yang melibatkan kanak-kanak bawah umur. Paderi itu juga dilarang menetap di wilayah Alsace, di mana dia melakukan kesalahan-kesalahan tersebut.

Hukuman yang dikenakan terhadapnya adalah lebih ringan berbanding tempoh hukuman yang disarankan oleh pihak pendakwa raya.

Pihak pendakwa raya sebelum ini memohon agar dia dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun dan diletakkan di bawah arahan penyeliaan selama tiga tahun.

Perbicaraan itu diadakan secara tertutup atas permintaan tiga daripada empat mangsa, yang masih kecil apabila kesalahan itu berlaku dengan yang paling muda hanya berusia sembilan tahun ketika itu.

Serangan-serangan berkenaan terus dilakukan sehingga tiga daripada mangsa tersebut mencecah usia dewasa, dengan serangan itu dilakukan antara 2001 hingga 2006 dan dari 2011 hingga 2016.

Paderi berkenaan, yang ditahan reman selama tiga bulan pada permulaan kes itu pada September 2016, "amat mengesali jenayah-jenayah yang diakui dilakukannya... serta meminta maaf kepada mangsa-mangsa dan orang-orang yang terjejas akibat perbuataannya yang keterlaluan," kata peguamnya, Thierry Moser, dalam satu kenyataan.

Paderi itu juga mengaku menggelapkan lebih 100,000 euro (S$155,000) bagi kegunaan Gereja itu dan sebaliknya, memindahkan wang berkenaan kepada salah seorang mangsanya yang ketika itu ialah seorang dewasa, bagi perbuatan seksual.

Secara keseluruhannya, dia membayar wanita itu lebih 240,000 euro (S$370,000), termasuk sebahagian daripada harta benda peribadinya.

Mangsa, yang kini berusia 29 tahun, didakwa atas kesalahan "menyembunyikan pecah amanah", namun dibebaskan selepas mahkamah mendapati tiada bukti yang mencukupi yang menunjukkan bahawa wanita itu mengetahui mengenai sumber wang berkenaan.  

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan