PAC boleh siasat semula 1MDB tapi jangan cari salah saja, kata Najib
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, berkata tiada masalah jika Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) mahu membuka semula siasatan terhadap 1MDB, namun beliau berharap kerajaan tidak akan menumpukan perhatian kepada mencari kesalahan semata-mata.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. (Gambar fail: Alexandra Radu/Reuters)
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, berkata tiada masalah jika Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) mahu membuka semula siasatan terhadap 1MDB, namun beliau berharap kerajaan tidak akan menumpukan perhatian kepada mencari kesalahan semata-mata.
Agensi berita Malaysiakini melaporkan bahawa Encik Najib berkata, beliau sendiri ingin mengetahui kebenaran berkenaan kes itu.
"Jika mereka mahu buka semula (siasatan 1MDB), saya tidak membantah sebab kita nak cari kebenaran...Itu hak PAC tetapi janganlah nak mencari kesalahan sahaja.
"(Kerajaan) sudah ada mandat untuk mentadbir negara, sepatutnya mereka tumpu kepada usaha membangunkan negara...bagaimana nak memajukan ekonomi dan menolong rakyat," kata beliau ketika ditemui oleh para wartawan di Dewan Rakyat pada Rabu (15 Ogos).
Malaysiakini difahamkan bahawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada Rabu (15 Ogos) mengusul agar PAC dan Ketua Audit Negara membuka semula siasatan terhadap skandal itu serta membuka semua maklumat berkaitan kepada awam.
Usulan itu berada di tempat kelima dalam aturan mesyuarat dan dijangka dibentangkan pada Khamis (16 Ogos), iaitu hari terakhir sidang parlimen kali ini.
Menurut Malaysiakini, Encik Najib juga menegaskan bahawa siasatan pertama PAC dan Ketua Audit Negara berhubung skandal tersebut mendapati beliau tidak membuat sebarang kesalahan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.
"PAC sudah habiskan masa (menyiasat) selama enam bulan dan di dalamnya juga ada pembangkang (ketika itu)," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.