Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Orang utan di taman haiwan Indonesia serang belia yang rakam video TikTok

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA/PEKANBARU: Seorang belia yang ingin merakam video TikTok dirinya bersama orang utan di sebuah taman haiwan di Indonesia berakhir dengan diserang haiwan itu.

Selepas terselamat daripada serangan itu, dia memuat naik rakaman kejadian itu dan gambar bajunya yang koyak untuk tatapan umum.

Belia itu kemudian memohon maaf kepada pihak pengurusan Taman Haiwan Kasang Kulim di Pekanbaru, Indonesia.

Dalam video yang tular di Twitter pada Selasa (7 Jun), seekor orang utan bernama Tina, 15 tahun, boleh dilihat menarik dengan paksa seorang pengunjung dari dalam sangkarnya. Ia terus menarik lelaki itu yang dilihat menjerit meminta tolong dan bergelut untuk membebaskan diri.

Dalam kenyataan kepada laman berita Indonesia, pengurus taman haiwan berkenaan, Encik Desrizal, mengesahkan kejadian itu yang berlaku pada Isnin.

Ketika kejadian, pegawai taman haiwan sedang makan tengah hari. Encik Hasanal Arifin, 19 tahun, melompat pagar kandang orang utan tanpa kebenaran dan memasang kameranya — dengan harapan dapat merakam adegan video lucu bersama orang utan untuk akaun TikToknya, menurut laporan akhbar Kompas.

Seperti yang dilihat dalam video berkenaan, pemuda itu menghampiri kandang Tina dengan tangan terbuka, seolah-olah menawarkan pelukan. Tina kemudian menerjang ke hadapan untuk mengenggam baju dan menarik kakinya.

Dalam keadaan huru-hara itu, seorang lagi pengunjung berlari dan mula menendang lengan orang utan itu untuk melepaskan Encik Hasanal daripada cengkaman kuat haiwan itu. Tina kelihatan cuba menggigit kaki lelaki itu sebelum akhirnya melepaskannya.

Encik Desrizal berkata Encik Hasanal meletakkan dirinya dalam bahaya dengan melanggar peraturan taman haiwan.

Pemuda yang tidak cedera teruk itu kemudian memuat naik rakaman kejadian tersebut secara online, yang menjadi tular dan dijadikan meme oleh warga net lain. Satu klip video yang dimuat naik semula ke Twitter meraih lebih 10 juta tontonan dalam masa kurang 24 jam.

Laman berita Tribun Pekanbaru melaporkan belia itu turut memuat naik Instagram Story yang menunjukkan bajunya dikoyakkan orang utan tersebut. Dia kemudian dilaporkan mematikan akaun media sosialnya selepas menerima kecaman teruk atas kelakuannya.

Pada petang Selasa, Encik Hasanal memohon maaf secara terbuka atas tindakannya dalam video yang dimuat naik di laman Instagram Taman Haiwan Kasang Kulim.

Selepas dikritik sama oleh pengguna media sosial kerana kurang melaksanakan penguatkuasaan, pihak pengurusan taman haiwan turut merakam Instagram Story untuk meyakinkan pengunjung bahawa kandang orang utan itu sememangnya mempunyai pagar dan papan tanda yang mengarahkan pengunjung supaya tidak melintasinya.

Pihak taman haiwan tidak harus dipersalahkan atas kejadian ini, kata Encik Desrizal seperti dipetik dalam laporan berita Kompas, kerana "keselamatan kandang dan SOP (prosedur operasi standard)" sentiasa ada.

Di Instagram Stories, dia mengingatkan pengunjung supaya mematuhi peraturan ketika berada di taman haiwan dan menjaga jarak dari haiwan-haiwan.
Sumber : Today/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan