Skip to main content

Dunia

Orang ramai dinasihati terus waspada susulan Monsun Timur Laut di Malaysia

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang ramai supaya kekal berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa susulan situasi cuaca tidak menentu akibat Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara itu, khususnya di beberapa negeri Pantai Timur.
Anggaran Waktu Membaca:
Orang ramai dinasihati terus waspada susulan Monsun Timur Laut di Malaysia
Encik Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang ramai supaya kekal berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa susulan situasi cuaca tidak menentu akibat Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara itu, khususnya di beberapa negeri Pantai Timur.

Encik Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah mengeluarkan amaran hujan berterusan dan perkembangan tersebut perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak bagi mengelak sebarang risiko terhadap keselamatan diri serta keluarga.

"Jangan ambil mudah risiko banjir, elakkan meredah air deras dan pastikan aspek keselamatan diutamakan. Dapatkan maklumat terkini hanya melalui saluran rasmi seperti METMalaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," kata beliau menerusi satu catatan di platform X pada Rabu (17 Dis).

Beliau turut menggesa ibu bapa untuk memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak, lebih-lebih lagi ketika musim cuti sekolah yang akan bermula tidak lama lagi bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Hal itu, kata Encik Ahmad Zahid termasuk memastikan anak-anak tidak bermain di kawasan berisiko seperti sungai, parit, longkang besar atau kawasan yang dinaiki air kerana kelalaian kecil boleh mengundang tragedi besar.

Selain itu, beliau berkata ibu bapa digalakkan untuk merancang pergerakan anak-anak dengan teliti sekiranya perlu keluar rumah, terutamanya di kawasan terjejas banjir.

"Keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Insya-Allah dengan sikap berhati-hati, keprihatinan dan kerjasama semua pihak, kita dapat mengharungi musim ini dengan lebih selamat," kata Encik Ahmad Zahid.

Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan keprihatinan terhadap calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih menduduki baki peperiksaan hingga 23 Disember ini dan menasihati mereka agar terus memberi tumpuan kepada peperiksaan serta menjaga keselamatan diri.

Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang manakala amaran hujan berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di Pahang (Jerantut, Maran dan Bera), Terengganu (Dungun dan Kemaman), Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).

Hujan berterusan tahap waspada turut dijangka melanda sembilan negeri iaitu Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang), dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh).

Turut terlibat Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita