Skip to main content

Dunia

Orang ramai dinasihat waspada kehadiran ubur-ubur api di pantai Terengganu

Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap kehadiran beratus-ratus ubur-ubur api atau Portuguese Man of War yang terdampar di Pantai Rhu Muda, Marang, Terengganu.

Anggaran Waktu Membaca:
Orang ramai dinasihat waspada kehadiran ubur-ubur api di pantai Terengganu

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Jan 2025 04:03PM Dikemas Kini : 12 Jan 2025 04:04PM
MARANG: Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap kehadiran beratus-ratus ubur-ubur api atau Portuguese Man of War yang terdampar di Pantai Rhu Muda, Marang, Terengganu.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Roswati Md Amin, berkata spesies yang diklasifikasikan di bawah kumpulan hydrozoan marin itu mudah dikenali dengan warna kebiruan lutsinar.

Pakar bidang Plankton Ekofisiologi itu berkata hidupan berkenaan mempunyai sel-sel penyengat berbisa yang terletak di bahagian tentakel, berfungsi untuk menangkap mangsa sebagai mekanisme pertahanannya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyentuh hidupan beracun itu, termasuk yang telah mati, kerana ia boleh memberi kesan berbahaya.

"Kewujudan hidupan ini banyak direkodkan di lautan Pasifik, India, dan Atlantik. Bagaimanapun, pada November tahun lepas, kami mendapati spesies ini terdampar di pantai sekitar UMT di Kuala Nerus.

"Hidupan bersifat koloni ini tidak boleh berenang dan bergerak menggunakan polip pelampung yang bersaiz antara dua hingga 10 sentimeter di bahagian atas, yang berfungsi untuk pergerakan," katanya ketika dihubungi Bernama.

"Spesies ini juga bergerak mengikut pergerakan arus dan tiupan angin. Kajian menunjukkan kekuatan dan arah tiupan angin mempengaruhi damparan hidupan ini di pesisir pantai. Angin kuat musim Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini antara penyebab damparan hidupan ini."

Sehubungan itu, Dr Roswati menyarankan agar pihak berkuasa memantau kehadiran hidupan ini di lokasi pantai yang menjadi tumpuan pengunjung untuk memastikan keselamatan orang ramai, terutama kanak-kanak yang mudah teruja dengan penemuan hidupan laut yang unik.

"Saya juga nasihatkan nelayan supaya lebih berhati-hati kerana ubur-ubur ini mudah tersangkut pada pukat," tambah beliau.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita