Skip to main content

Dunia

Orang ramai dinasihat pakai pelitup ketika kunjungi bazar Ramadan, tempat awam susuli kes TB di Malaysia

Sedang rakyat Malaysia berpusu-pusu ke bazar Ramadan dan majlis berbuka puasa, Kementerian Kesihatan Malaysia mengingatkan orang ramai supaya mematuhi langkah berjaga-jaga tuberkulosis (TB), terutamanya di tempat-tempat yang sibuk dan sesak.
Anggaran Waktu Membaca:
Orang ramai dinasihat pakai pelitup ketika kunjungi bazar Ramadan, tempat awam susuli kes TB di Malaysia

Sebuah bazar Ramadan yang dikunjungi orang ramai di Marang. Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan TB berpunca daripada ruang tertutup, kurang pengudaraan dan menggesa langkah berjaga-jaga diambil. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Feb 2026 07:59AM
KUALA LUMPUR: Sedang rakyat Malaysia berpusu-pusu ke bazar Ramadan dan majlis berbuka puasa, Kementerian Kesihatan Malaysia mengingatkan orang ramai supaya mematuhi langkah berjaga-jaga tuberkulosis (TB), terutamanya di tempat-tempat yang sibuk dan sesak.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu (21 Feb), kementerian itu menyatakan sebanyak 596 kes baharu TB dilaporkan di seluruh negara itu sepanjang minggu epidemiologi yang ke-6.

Kenyataan itu menyatakan dengan kes-kes baharu itu, keseluruhan jumlah kes TB di merata Malaysia kini adalah 3,161.

"Ruang sesak, tertutup dan kurang pengudaraan meningkatkan risiko penularan, terutamanya jika individu dengan TB aktif yang belum dirawat berada di tempat itu.

"Bagaimanapun ditegaskan, Ramadan bukanlah punca kepada penularan tibi. Peningkatan aktiviti sosial dan perhimpunan sepanjang bulan ini secara umumnya meningkatkan interaksi dalam kalangan masyarakat," menurut kenyataan tersebut seperti dinukil The Star.

Kementerian itu menegaskan bahawa langkah-langkah proaktif dan kesedaran masyarakat adalah penting bagi memastikan pengesanan awal, rawatan yang berkesan serta pencegahan penularan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

"Melalui kesedaran dan tindakan bersama, Ramadan dapat disambut dalam keadaan selamat, sihat dan sejahtera."

"Tidak seperti influenza atau COVID-19, TB merebak dengan perlahan dan biasanya perlukan pendedahan berpanjangan dan berkali-kali," menurut kenyataan itu seperti dinukil laporan The Star.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul, memastikan pengudaraan yang baik di ruang tertutup, memakai pelitup sekiranya bergejala atau berada di tempat sesak.

Pecahan kes menunjukkan Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 755, disusuli dengan Selangor (596 kes) dan Sarawak (332 kes).

Ini diikuti dengan Johor (280 kes), manakala wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 244 kes.

Kedah mencatatkan 181 kes, diikuti dengan Penang (172 kes), Perak (154 kes).

Kelantan mencatatkan 121 kes, Pahang sebanyak 103 kes, Terengganu (74 kes) dan Negeri Sembilan (62 kes).

Sementara itu, Melaka melaporkan 48 kes, Perlis (21 kes) dan Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai jumlah kes terendah iaitu 18 kes.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita