Skip to main content

Dunia

Orang lain simpan kucing, lelaki ini simpan ular sawa sepanjang 7 meter bernama 'Cik Kiah'

Sesiapa yang memandang “Cik Kiah” buat pertama kali pasti terpaku dengan kecantikan dan keunikannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Orang lain simpan kucing, lelaki ini simpan ular sawa sepanjang 7 meter bernama 'Cik Kiah'

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 31 Oct 2020 11:38PM Dikemas Kini : 31 Oct 2020 11:44PM

BALIK PULAU: Sesiapa yang memandang “Cik Kiah” buat pertama kali pasti terpaku dengan kecantikan dan keunikannya. Namun, Cik Kiah yang dimaksudkan di sini bukanlah  seorang gadis, sebaliknya seekor ular sawa betina daripada keluarga Malayopython reticulatus atau reculated python' - ular sawa batik seakan anakonda - yang dibela Encik Mohd Redzuan Abdullah Zawawi.

Sepanjang tujuh meter dengan berat 220 kilogram, Cik Kiah adalah ular sawa batik peliharaan terbesar di Asia, dakwa Encik Mohd Redzuan, 36 tahun.

Untuk rekod, Guinness World Records mencatatkan ular sawa batik di Missouri, Amerika Syarikat yang dinamakan Medusa sebagai ular terpanjang di dunia dengan ukuran 7.67 meter pada 2011.

Mengulas hobinya membela reptilia, Encik Mohd Redzuan yang ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini, berkata Cik Kiah merupakan antara enam ekor ular sawa batik yang dibelanya.

“Kesemua ular ini saya tempatkan di sebuah rumah yang saya sewa khas untuk mereka,” kata bapa dua anak itu.
 
Menyingkap “pertemuannya” dengan Cik Kiah, Encik Mohd Redzuan berkata beliau terserempak dengan reptilia itu melintas jalan kira-kira 16 tahun lepas.

"Ketika itu saya dalam perjalanan menghala ke Teluk Bahang dan ternampak anak ular sawa sedang melintas jalan. Saya ambil dan putuskan untuk membelanya. Ketika itu saiznya cuma sebesar dua ke tiga jari saya,” katanya menambah Cik Kiah merupakan ular pertama yang dibelanya.

Menurut lelaki itu, hobinya mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarga yang kesemuanya merupakan pencinta haiwan.

"Ular sawa batik ini sememangnya jinak, malah ia juga tidak mudah terdedah kepada penyakit selain hanya memerlukan tempat tinggal yang selesa dan ruang yang mencukupi, bergantung pada saiz ular," kata bekas penjawat awam itu.

Dia turut menjelaskan mereka yang mahu membela reptilia itu perlu mendapatkan lesen daripada  Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Sebelum ini, ada peminat ingin saya membuat pertunjukan ular, namun tidak boleh kerana tidak memiliki lesen untuk pertunjukan," katanya yang menambah bahawa anak sulungnya yang berusia 12 tahun turut berkongsi minat dengannya.

Encik Mohd Redzuan mengakui kos memelihara ular sawa agak besar dan dia membelanjakan antara RM700 (S$230) dan RM800 (S$263) sebulan untuk makanan reptilia terbabit.

"Lagi besar ular itu lagi tinggi kos makanan. Untuk Cik Kiah, makanan yang diperlukannya ialah kira-kira 20 hingga 25 ekor ayam sebulan," katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita