"Orang benci, tak tahu kenapa orang benci," ujar remaja dibantu pendakwah Ebit Lew
Gambar: Facebook/ Ebit Lew
KUALA LUMPUR: Kemiskinan dan cercaan yang diterima oleh seorang kanak-kanak lelaki yang terpaksa bekerja demi mendapatkan sedikit wang untuk membeli makanan mendapat perhatian pendakwah terkenal Ebit Lew.
Melalui perkongsian di TikTok, Ebit menaiki pesawat pergi ke Kelantan dan berjumpa dengan remaja bernama Akid pada Jumaat (8 April), lapor MalaysiaGazette.
“Adik Akid jangan menangis lagi ye. Hari ini kita bina rumah baru,” tulis kapsyen dalam video yang dikongsi di TikTok pendakwah tersebut.
Dalam klip video berdurasi satu minit itu remaja berkenaan kelihatan menangis sambil mendakap erat Ebit ketika pendakwah berkenaan melawatnya.
Encik Ebit pula berusaha menenangkan Akid sambil mengusap rambut remaja terbabit yang kelihatan sayu. Pendakwah terbabit kelihatan berkata sesuatu seperti memujuk remaja tersebut untuk berhenti menangis.
Tambah MalaysiaGazette lagi, Akid kemudian membawa pendakwah itu ke rumahnya yang kelihatan benar-benar miskin dengan sebahagian dinding rumahnya sudah roboh dan tiada bumbung.
Dalam video berkenaan, Encik Ebit dilihat membeli barang di sebuah kedai hardware dan dia juga membelikan baju Akid.
Melalui perkongsian di Facebook pula, Encik Ebit berkata, dia tiba di Kota Baharu pada pukul 7.30 pagi tadi.
Beliau berjanji untuk membina rumah baru untuk Akid dan keluarganya.
“Syukur kami akan bina rumah baru untuk Akid. Terus beli semua barang untuk buat rumah baru. Dua jam selesai beli dan bayar semua barang untuk buat rumah.
“Adik Akid kenapa menangis? Saya tak sangka ustaz datang rumah saya. Saya suka sangat dekat ustaz. Selalu tolong orang. Saya nak tolong orang macam ustaz.
“Saya orang biasa je adik. Adik orang baik. Allah sayang adik. Ramai orang ambil berat pasal adik. Semua orang sayang adik,” kata Ebit.
Akid mengundang simpati masyarakat selepas sebuah badan bukan kerajaan MyFundAction berkongsi video penderitaan yang ditanggung oleh remaja tersebut yang tidak memahami kenapa dia dibenci hanya kerana bekerja untuk mendapatkan beberapa ringgit bagi membeli makanan.
Dalam video tersebut, Akid kelihatan menangis kerana cacian yang diterimanya hanya kerana dia bekerja termasuk mencuci tandas surau bagi memperoleh beberapa ringgit bagi membeli makanan untuk dirinya dan keluarga, lapor MalaysiaGazette.
“Ma, abah tak mampu nak beli rumah besar. Kalau nak makan pun kena cari duit sendiri. Cuci, vacum dan cuci tandas surau.
“Kadang-kadang (dapat) RM6 (S$1.94) macam tu lah. Akid beli bawang merah, beli tepung untuk buat makan.
“Ada orang kata kat kami lapar kedarah (meminta). Ambil duit orang. Akid tak ambil pun. Orang benci, tak tahu kenapa orang benci,” kata Akid dalam video berkenaan sambil menangis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.