Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Orang Asli pertama terima ijazah kelas pertama universiti terkemuka dunia

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Susherrie Suki, yang melakar sejarah menjadi Orang Asli pertama menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dari University College London (UCL), United Kingdom baru-baru ini, memasang cita-cita untuk bergelar perancang bandar berlesen di negeri kelahirannya, Perak.

Gambar gadis daripada kaum Semai berusia 23 tahun itu bersama ahli keluarga dan rakannya di hadapan universiti berkenaan, tular di media sosial kerana mengangkat nama masyarakatnya setelah menamatkan pengajian dalam bidang Perancangan Bandar dan Hartanah di Sekolah Perancangan Bartlett UCL.

UCL merupakan universiti terkemuka di dunia yang menduduki tangga kelapan dunia (QS World University Ranking 2023).

Kini, beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Reka Bentuk dan Perancangan Bandar di universiti sama selama setahun bagi merealisasikan cita-citanya itu. 

“Selepas menghabiskan pengajian hingga tingkatan lima di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ave Maria Convent, saya menyambung pengajian peringkat A-Level di Kolej MARA Seremban dan seterusnya mendapat tawaran di UCL bagi peringkat Sarjana Muda selama tiga tahun.
 
“Ketika saya menerima berita tentang penganugerahan Ijazah Kelas Pertama di UCL, saya melonjak kerana terlampau gembira dan terus menelefon kakak untuk memberitahu tentang berita ini kerana bagi saya, perkara ini bukan mudah untuk dicapai,” katanya ketika dihubungi Bernama melalui panggilan video dari United Kingdom pada Khamis (22 Sep).

Anak ketiga daripada empat beradik itu memaklumkan bahawa beliau memilih jurusan Reka Bentuk dan Perancangan Bandar kerana minatnya terhadap seni bina bangunan dan bandar.

Menyentuh tentang cabaran dialami sewaktu pengajiannya, Susherrie berkata aspek komunikasi mendorongnya untuk lebih bersungguh-sungguh dan bekerja keras demi menggenggam kejayaan yang tidak mudah diperoleh khasnya di bumi asing yang penuh dengan pelajar dari seluruh dunia.

“Saya mempunyai kesukaran menulis karangan untuk subjek penulisan ilmiah ketika itu sehinggakan saya hanya mendapat markah 40 hingga 50.

“Namun saya menyertai kelas bahasa Inggeris selain menjadi ahli persatuan kelas, dan bekerja sambilan di kafe pelajar bagi meningkatkan pemahaman dari segi pertuturan di sini (UCL). Bayangkan, lawak mereka pun saya tidak faham sehinggakan perlu menghentikan perbualan dan meminta penjelasan,” katanya seperti dinukil Bernama.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan