Skip to main content

Dunia

Orang asli mangsa serangan harimau tetap semangat berkebun demi sara hidup keluarga

Mangsa Orang Asli serangan harimau belang, Adin Andok, tetap bersemangat untuk kembali bekerja di kebun ubi kayu miliknya di Kampung Badak, Pos Bihai setelah pulih daripada kecederaan akibat pergelutan dengan haiwan liar tersebut awal bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Orang asli mangsa serangan harimau tetap semangat berkebun demi sara hidup keluarga

Adin Andok, 48 tahun, diserang harimau belang betina pada 4 Jul. (Gambar: Utusan Malaysia)

Diterbitkan : 24 Jul 2021 02:44PM Dikemas Kini : 24 Jul 2021 02:53PM

GUA MUSANG: Mangsa Orang Asli serangan harimau belang, Adin Andok, tetap bersemangat untuk kembali bekerja di kebun ubi kayu miliknya di Kampung Badak, Pos Bihai setelah pulih daripada kecederaan akibat pergelutan dengan haiwan liar tersebut awal bulan ini.

Adin, 48 tahun, berdepan detik cemas apabila diserang seekor harimau belang betina dalam kejadian sekitar 3.00 petang di kebun ubi kayu pada 4 Julai lalu.

Meskipun mengalami kecederaan parah, Adin berkata beliau tidak lemah semangat selepas kejadian itu kerana berkebun merupakan sumber pendapatannya untuk menyara kehidupan keluarga di kampung berkenaan.

"Apapun, saya akan lebih berwaspada apabila memasuki kebun ubi kayu...takut-takut ada harimau lain pula yang datang ke kebun saya.

"Mungkin selepas ini, saya akan bawa sekali anak lelaki ke kebun untuk menemani saya," katanya ketika ditemui di Pusat Transit Pesakit Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis hari ini (24 Jul).

Adin ditempatkan di pusat transit berkenaan selepas sembilan hari menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai dan masih menunggu rawatan susulan.

Bercerita lanjut, Adin berkata 'pertarungan' untuk menyelamatkan nyawanya itu mengakibatkan beliau mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badannya termasuk kepala, dada, mata kiri, kedua-dua lengan dan betis kiri.

Katanya lagi, pergelutan dengan haiwan tersebut berlaku selama kira-kira 10 minit sehingga beliau terpaksa menetak kepala harimau belang itu menggunakan golok miliknya sebelum berjaya melepaskan diri daripada cengkaman haiwan liar berkenaan dan diselamatkan penduduk dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

"Saya tidak sangka berdepan detik cemas itu kerana tiba-tiba sahaja haiwan itu menerkam ketika sedang berkebun. Saya nekad melawan harimau itu tanpa memikirkan kesannya kerana ketika itu, saya hanya terbayangkan maut,” katanya yang bersyukur masih hidup dan menambah ia merupakan kejadian pertama berdepan dengan harimau.

Dalam kejadian itu, Adin ke kebunnya seorang diri sebelum menyedari terdapat kesan tapak kaki besar dipercayai harimau sebelum secara tiba-tiba haiwan itu muncul di depan matanya ketika sedang meneliti kesan tapak kaki tersebut dan beliau terus diterkam haiwan liar itu.

Menyusuli kejadian itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak memasang perangkap dan harimau belang itu berjaya ditangkap pada 15 Julai lalu.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita