Skip to main content

Dunia

Operasi tren Kulai-Kempas Baru terjejas; kerja pemulihan masih dijalankan

Anggaran Waktu Membaca:
Operasi tren Kulai-Kempas Baru terjejas; kerja pemulihan masih dijalankan

Operasi tren di laluan Kulai-Kempas Baru terjejas selepas sebuah lori terbabas berhampiran landasan. Kerja pemulihan masih dijalankan. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 02:09PM
KUALA LUMPUR: Operasi tren di laluan Kulai-Kempas Baru, Johor masih terjejas pada Khamis (6 Ogos) selepas sebuah lori membawa cecair mudah terbakar terbabas berhampiran landasan sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyatakan kerja pemulihan masih dijalankan bagi mengalihkan struktur konkrit yang jatuh dan menyentuh Alat Talian Atas (ATA) di kedua-dua landasan.

Waktu laluan itu dibuka semula masih belum dapat ditentukan kerana ia bergantung kepada kemajuan kerja, pemeriksaan teknikal dan pengesahan keselamatan.

KTMB menegaskan operasi tren hanya akan dibenarkan selepas laluan dan sistem ATA disahkan selamat untuk digunakan.

BAS PERANTARA DISEDIAKAN

Bagi membantu penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang terjejas, KTMB menyediakan bas ulang-alik dari Stesen JB Sentral dan Stesen Kempas Baru ke Stesen Kulai.

Penumpang kemudian boleh meneruskan perjalanan dengan tren dari Stesen Kulai ke destinasi masing-masing.

Penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan pula akan diberikan pemulangan tambang penuh dan boleh mendapatkan bantuan daripada petugas KTMB di stesen.

Tiga perkhidmatan ETS dari JB Sentral terjejas pagi ini.

Ia melibatkan ETS 9442 bagi laluan JB Sentral-Padang Besar, ETS 9524 bagi laluan JB Sentral-KL Sentral dan ETS 9326 bagi laluan JB Sentral-Butterworth.

Bagi Shuttle Selatan, laluan Pasir Gudang-JB Sentral-Pasir Gudang dan Kempas Baru-JB Sentral-Kempas Baru masih beroperasi.

Namun, laluan Kulai-Kempas Baru-Kulai tidak beroperasi.

KERJA ALIH STRUKTUR KONKRIT

Menurut KTMB, Transmare-Chemie (M) Sdn Bhd, syarikat lori yang terlibat dalam kejadian itu, memaklumkan pada pukul 3.00 pagi bahawa kren berkapasiti 120 tan yang diperlukan untuk mengalihkan struktur konkrit tersebut masih belum diperoleh.

Sekiranya kren itu tersedia, kerja mengangkat dan mengalihkan struktur konkrit dijangka bermula sekitar pukul 10.00 pagi.

Namun, KTMB belum dapat menentukan bila laluan tersebut boleh dibuka semula.

KTMB akan terus menyelaraskan kerja pemulihan bersama pihak-pihak berkaitan.

Insiden itu berlaku semalam apabila sebuah lori membawa cecair mudah terbakar terbabas berhampiran laluan Kulai-Kempas Baru.

Kejadian tersebut menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan kelengahan kepada perkhidmatan Shuttle Selatan serta ETS.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita