Operasi terhambat di gunung berapi New Zealand akibat gegaran susulan
Usaha pihak berkuasa untuk mencari mayat lapan orang yang dipercayai berada di kawasan gunung berapi White Island di New Zealand terhambat akibat gegaran susulan yang semakin meningkat.

(Gambar: REUTERS)
WHAKATANE, New Zealand: Usaha pihak berkuasa untuk mencari mayat lapan orang yang dipercayai berada di kawasan gunung berapi White Island di New Zealand terhambat akibat gegaran susulan yang semakin meningkat.
Enam orang terbunuh apabila gunung berapi di White Island meletus pada Isnin (9 Dis), yang terletak kira-kira 50 kilometer dari kawasan tanah besar New Zealand. Lagi lapan orang dilaporkan hilang dan dipercayai mati.
Perdana Menteri Jacinda Ardern memberitahu Reuters bahawa para pegawai kecemasan mengadakan mesyuarat pagi ini (11 Dis) bagi menentukan sama ada usaha mencari dapat dijalankan.
Namun, kemas kini pada pagi tadi oleh agensi geologi GeoNet menunjukkan keadaan di kawasan gunung berapi itu masih berbahaya dan dijangka melengahkan sebarang usaha pencarian.
"Sejak kira-kira pukul 4.00 pagi, paras gegaran susulan yang berlaku meningkat secara mendadak di kawasan gunung itu," menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
"Keadaan masih belum dapat ditentukan sama ada akan berlaku gegaran susulan. Gunung berapi itu dijangka meletus lagi dalam masa 24 jam akan datang."
Kepulan asap tebal dapat dilihat daripada kawasan gunung itu pada pagi Rabu.
RISIKO PERLU DIPERTIMBANGKAN
Polis menyatakan keselamatan pasukan penyelamat menjadi keutamaannya dan mereka sedang menantikan nasihat daripada pakar-pakar sama ada mereka boleh memasuki kawasan gunung itu, yang kini diselubungi abu panas dan wap daripada letusan tersebut. Ia juga mengundang kritikan yang menuduh pihak berkuasa bersikap terlalu berhati-hati.
"Kami tidak boleh meletakkan orang lain dalam keadaan berbahaya sehingga kami benar-benar yakin pulau itu selamat," kata Pemangku Penolong Pesuruhjaya, Bruce Bird di sidang media di Whakatane.
Seramai 47 orang berada di White Island semasa letusan berlaku. 24 daripada mereka adalah rakyat Australia, sembilan warga Amerika Syarikat, lima dari New Zealand, empat dari Jerman, dua warga China dan dua rakyat Britain dan seorang lagi adalah rakyat Malaysia.
PM Arden mengatakan bahawa tumpuan utama adalah untuk merawat sekitar 30 orang yang cedera dan mereka dirawat bagi kelecuran di beberapa hospital di merata negara itu.
Daripada mereka yang cedera, 25 dalam keadaan tenat dan lagi lima dalam keadaan stabil tetapi serius.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.