Operasi menyelamat tanah jerlus di Jepun masuk hari ke-4; pemandu trak masih terperangkap

Pegawai polis dan penyelamat menjalankan operasi menyelamat di Bandar Yashio di wilayah Saitama, di timur laut Tokyo, pada 30 Jan 2025, dua hari selepas sebuah trak terjatuh ke dalam tanah jerlus. (Gambar: Yu Matsuda/Kyodo News menerusi AP)
Insiden itu menjadi tumpuan negara tersebut sejak tanah jerlus berkenaan muncul secara tiba-tiba di Bandar Yashio di wilayah Saitama, di timur laut Tokyo, pada Selasa pagi.
Tanah jerlus tersebut berukuran kira-kira 10m lebar dan 5m dalam tetapi saiznya telah meningkat dua kali ganda selepas ia bercantum dengan gua lain berdekatan.
Kali terakhir pemandu trak itu didengari memberi respons kepada pasukan penyelamat ialah pada petang Selasa, menurut pegawai jabatan bomba Yashio Yoshifumi Hashiguchi.
Komunikasi tersebut bagaimanapun terputus selepas trak berkenaan semakin terperangkap di bawah tanah dan serpihan, menurut penyiar Jepun NHK.
Tanah yang tidak stabil, dengan ruang kosong di bawahnya, menghambat usaha menyelamat yang sedang dijalankan.
Rakaman televisyen menunjukkan jalan asfalt retak dan runtuh ke dalam tanah jerlus tersebut, sekali gus menyebabkan papan iklan itu roboh.
Pihak berkuasa telah cuba menyelamatkan pemandu terbabit dengan mengangkat traknya menggunakan kren, tetapi mereka hanya dapat mendapatkan semula platform punggah itu, meninggalkan kabin tersebut di mana pemandu itu dipercayai terperangkap.
Pihak berkuasa juga telah cuba mengeluarkan sedimen dan menggali untuk menyelamatkan pemandu tersebut, tetapi gagal. Mereka turut menerbangkan dron ke dalam lubang untuk melihat sama ada pekerja penyelamat boleh memanjat ke bawah, tetapi tiada sebarang kemajuan dicapai.
Pegawai sistem kumbahan wilayah Saitama Jun Uehara menyatakan kakisan, yang berpotensi berlaku disebabkan oleh asid kuat yang sentiasa melalui sistem itu, mungkin telah mewujudkan lubang pada paip, menyebabkan tanah di atas runtuh dan menyebabkan ruang kosong yang besar muncul.
Tiada masalah dikesan pada paip tersebut semasa pemeriksaan visual terakhirnya dijalankan, yang perlu dilakukan setiap lima tahun.
Kira-kira 1.2 juta penduduk telah diminta supaya menjimatkan air semasa mandi dan membasuh pakaian, untuk mengelakkan kebocoran kumbahan daripada merumitkan lagi usaha menyelamat.
Kementerian Darat, Infrastruktur dan Pengangkutan telah mengarahkan siasatan dijalankan ke atas sistem kumbahan merata negara itu.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.