Skip to main content

Dunia

Operasi menyelamat ditamatkan, 9 mayat ditemui

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di Pulau Pinang yang dijalankan selama lima hari sudahpun ditamatkan pada Selasa (23 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Operasi menyelamat ditamatkan, 9 mayat ditemui

Para pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang sedang mengusung mayat mangsa tanah runtuh Jalan Bukit Kukus. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Oct 2018 07:54AM Dikemas Kini : 24 Oct 2018 07:57AM

GEORGE TOWN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di Pulau Pinang yang dijalankan selama lima hari sudahpun ditamatkan pada Selasa (23 Okt).

Operasi SAR ditamatkan secara rasmi pada pukul 6.00 petang semalam (23 Okt) selepas Unit K9 melakukan pemeriksaan terakhir, namun tidak menemui mayat yang dikenali sebagai Mat Rahaz, yang sebelum ini dilaporkan tertimbus di bawah runtuhan tanah.

Menurut laporan Astro Awani, berita itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar.

"Saya dengan ini mengesahkan operasi mencari mangsa di kejadian tanah runtuh Bukit Kukus telah pun ditamatkan.

"Jadi, ini adalah hasil daripada pencarian yang telah kami buat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, dan memang tidak ada lagi mangsa yang ditemui di tempat kejadian," kata Encik Saadon seperti yang dipetik oleh Astro Awani.

Pasukannya sudah mengalihkan 100 peratus timbunan tanah runtuh di tiga sektor pencarian di kawasan berkeluasan 100,000 kaki persegi itu.

Operasi SAR tersebut melibatkan 200 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), pasukan perubatan Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurut Astro Awani, sembilan mayat ditemui semasa operasi selama lima hari itu.

Mereka adalah tiga lelaki warga Indonesia, lima lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Myanmar.

Empat orang pula dilaporkan cedera akibat kejadian tersebut iaitu seorang lelaki warga Bangladesh, dua wanita warga Indonesia yang seorang daripadanya mengandung empat bulan, serta seorang lagi wanita warga Kemboja. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita