Operasi mencari penyelam remaja hilang di M'sia ditamatkan; Indonesia sambung operasi
(Gambar: Mohd Rasfan/AFP)
MERSING: Operasi Carilamat bagi mengesan seorang lagi penyelam remaja warga Belanda yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, Mersing pada Rabu (6 Apr) ditamatkan pada pukul 1.30 tengah hari ini (9 Apr).
Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata ia berikutan hasil maklumat dan siasatan mendapati kedua-dua penyelam warga Britain dan Perancis yang terselamat ditemui di kedudukan 16 batu nautika dari utara Pulau Bintan, Indonesia sekitar 1.00 pagi tadi.
Beliau berkata kedudukan kedua-dua penyelam itu ditemui adalah kira-kira 70 batu nautika atau 100 kilometer daripada lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang.
“Daripada maklumat ini kami berpendapat usaha pencarian (kini) di kawasan (perairan) Indonesia dan operasi dihentikan sementara di perairan Malaysia.
“Rakan setugas kita di Indonesia telah maklum dan mereka akan sambung (operasi) cari di perairan Indonesia. Bagaimanapun aset-aset kita di laut sentiasa berada dalam keadaan siap siaga,” katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing pada Sabtu (9 Apr).
Jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem, 35 tahun, yang ditemukan selamat pada Khamis (7 Apr) juga berada dalam keadaan stabil, tambah Supt Cyril, namun masih belum bersedia untuk memberi keterangan.
“Begitu juga keadaan dua penyelam (Adrian Peter Chesters, 46, dan Alexia Alexandra Molina, 18) berada dalam keadaan stabil dan bersemangat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata meskipun Op Carilamat tersebut ditamatkan, aset daripada pelbagai agensi yang berada di perairan negara sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia untuk membantu pihak berkuasa Indonesia sekiranya diperlukan.
Dalam kejadian pada tengah hari Rabu lalu (6 April), empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman di Mersing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.