Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Operasi ketenteraan Rusia di Ukraine mungkin sumbang kepada kemelut di Sri Lanka

Anggaran Waktu Membaca:
Operasi ketenteraan Rusia di Ukraine mungkin sumbang kepada kemelut di Sri Lanka

(Gambar: EDUARDO MUNOZ / POOL / AFP)

BANGKOK: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken berkata kesan akibat operasi ketenteraan Rusia di Ukraine mungkin menyumbang kepada kemelut di Sri Lanka serta menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia.

“Kami menyaksikan kesan akibat operasi ketenteraan Rusia di mana-mana. Ia mungkin sudah menyumbang kepada situasi terkini di Sri Lanka.
“Kami berusaha untuk menangani implikasi itu, termasuk menyediakan sumber yang besar untuk menangani keperluan kemanusiaan seperti krisis makanan serta melabur dalam pengeluaran jangka panjang dan pertumbuhan mampan, agar negara itu mampu menghasilkan makanan yang mereka perlukan,” kata beliau di sidang media di Bangkok sebelum mengakhiri lawatannya ke Thailand.

Encik Blinken memperbaharui gesaannya agar Rusia membenarkan sekitar 20 juta tan bijirin Ukraine untuk dieksport keluar sejak Moscow melancarkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine pada Februari.
“Apa yang kita lihat di seluruh dunia sekarang adalah peningkatan krisis makanan yang diburukkan lagi dengan krisis di Ukraine.

“Kita mengalami krisis baja sehingga memberi kesan kepada Thailand susulan harganya melambung tinggi.

Ini amat ketara terutama di negara berasaskan pertanian seperti Thailand kerana jika ketiadaan baja, hasil pertanian pada tahun depan akan berkurangan, dan harga makanan akan meningkat,” kata beliau.

Sementara itu, Encik Blinken menggesa para pemimpin Sri Lanka mencari jalan penyelesaian jangka panjang untuk menangani masalah negara itu.

“Kami menggesa ahli Parlimen Sri Lanka menzahirkan komitmen untuk memajukan negara, bukan demi kepentingan mana-mana parti politik.

“Adalah menjadi kewajipan pemerintah, sama ada pemerintah baru yang dipilih berdasarkan perlembagaan, atau pemerintah sedia ada, untuk berusaha mengenal pasti dan mencari jalan penyelesaian demi kestabilan ekonomi jangka panjang,” kata beliau.

Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa berkata beliau akan meletak jawatan pada 13 Julai selepas penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasminya pada Sabtu (9 Jul) susulan pergolakan semakin meruncing di negara itu.

Pada 9 Julai, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe juga mengumumkan peletakan jawatannya selepas penunjuk perasaan bertindak membakar kediaman perdana menteri.
Sementara itu, Encik Blinken mengutuk sebarang keganasan terhadap penunjuk perasaan dan wartawan di negara itu.

“Rakyat Sri Lanka mempunyai hak untuk bersuara secara aman. Pada masa sama, kami menggesa siasatan penuh, penahanan, pendakwaan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam sebarang serangan berkaitan protes dan tindakan keganasan,” kata beliau.

Lawatan Encik Blinken ke Thailand adalah sebahagian daripada rangka lawatannya ke rantau itu termasuk menghadiri mesyuarat Menteri Luar G20 di Bali, Indonesia pada Rabu (6 Jul).

Selepas Thailand, Encik Blinken dijadual berkunjung ke Tokyo, Jepun, untuk mengucapkan takziah atas kematian bekas Perdana Menteri Abe Shinzo dan bertemu dengan pegawai kanan Jepun.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan