Skip to main content

Dunia

Operasi kelab komedi Kuala Lumpur digantung selepas video hina Islam tular

Anggaran Waktu Membaca:
Operasi kelab komedi Kuala Lumpur digantung selepas video hina Islam tular

(Gambar: Crackhouse Comedy Club KL/Facebook)

Diterbitkan : 10 Jul 2022 04:20PM

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur menyusuli satu klip video tular yang dipercayai menghina agama Islam.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias berkata tindakan itu sebagai mesej jelas bahawa pihaknya dan DBKL tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

"Isu ini juga turut mendapat kecaman daripada penduduk berhampiran dan netizen di media sosial yang berpendapat bahawa video tular tersebut jelas dan terang merupakan perbuatan yang bertujuan menghina serta mencemarkan imej agama Islam.

"Justeru, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, DBKL tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu-isu sebegini.

“DBKL telah membuat siasatan lanjut terhadap lesen premis berkenaan dan tindakan menggantung sementara pengoperasian premis berkenaan telah dilakukan secara serta-merta," katanya dalam kenyataan pada Ahad (10 Jul). 

Encik Jalaluddin berkata operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa, selain berharap orang awam melaporkan sebarang insiden bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang.

Video selama 54 saat itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai komen dalam kalangan netizen apabila seorang wanita yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya sudah menghafal 15 juzuk Al-Quran sebelum menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.

Sementara itu, kelab tersebut, 'Crackhouse Comedy Club House' dalam catatan Facebooknya mengecam sekeras-kerasnya kandungan video tular itu dan sudahpun membuat aduan polis mengenai perkara itu di balai polis TTDI.

"Individu terbabit dan pasangannya telah dilarang berada di lokasi berkenaan sebaik sahaja selesai persembahan," katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita