Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Operasi cari pendaki M'sia hilang di Everest diteruskan meski biaya kos tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Operasi cari pendaki M'sia hilang di Everest diteruskan meski biaya kos tinggi

Pendaki Malaysia Muhammad Hawari Hashim, 33 tahun. (Gambar: Astro AWANI)

Diterbitkan : 24 May 2023 06:58PM Dikemas Kini : 24 May 2023 07:00PM
GOMBAK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Muhammad Hawari Hashim, 33 tahun,yang dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest pada Jumaat (19 Mei) diteruskan walaupun membabitkan kos tinggi, lapor Astro AWANI.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Menteri Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali, kos pencarian tinggi kerana melibatkan penggunaan helikopter serta dibantu malim gunung.

"Sebab kos pencarian cukup tinggi melibatkan helikopter, malim gunung di sana dan Alhamdulilah Perdana Menteri memberi komitmen kerajaan akan membantu dari segi kewangan untuk proses pencarian selain sumbangan pihak-pihak terlibat.

"Proses pencarian masih diteruskan dan tindakan kerajaan tidak akan berhenti.

"Saya difahamkan pada pukul 2.30 petang tadi (25 Mei) Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) telah membuat sidang media di Parlimen memaklumkan komitmen kerajaan," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Op Ramah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada Rabu (25 Mei).

Jumaat lalu, Muhammad Hawari, seorang peserta ekspedisi Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang kurang upaya pendengaran, dilaporkan hilang ketika turun dari kem empat selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu dan dipercayai terjatuh di kawasan kaki Gunung Lhotse, Nepal.
Sehari sebelum itu, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56 tahun, yang juga antara peserta ME2023, dilaporkan meninggal dunia.

Lurah ais sedalam lebih 1,000 meter antara cabaran yang dilalui malim gunung atau sherpa ketika menjejakinya.

Selain menggunakan khidmat malim gunung, pihak Kedutaan Malaysia di Nepal turut berikhtiar mengesan mangsa menggunakan isyarat telefon bimbit digunakan mangsa, namun usaha berkenaan mengalami kesukaran berikutan isyarat terakhir dikesan adalah pada 6 Mei lalu.

Usaha mencari dan mengesan Muhammad Hawari semakin suntuk ketika ini kerana pemerintah Nepal akan menutup semua aktiviti di pergunungan Everest pada 29 Mei atas faktor keselamatan.
Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan