Skip to main content

Dunia

Operasi cari mangsa tanah runtuh Pulau Jawa digantung buat kali kedua dek cuaca buruk

Pasukan penyelamat Indonesia pada Jumaat (24 Jan) menggantung usaha mencari mangsa tanah runtuh di Pulau Jawa dek cuaca buruk.

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia pada Jumaat (24 Jan) menggantung usaha mencari mangsa tanah runtuh di Pulau Jawa dek cuaca buruk.

Seorang jurucakap bagi pasukan penyelamat tempatan pula mendedahkan bahawa angka korban kejadian yang berlaku tiga hari lalu itu sudah meningkat kepada sekurang-kurangnya 25 orang.

Tanah runtuh pada Selasa (21 Jan) berpunca daripada hujan lebat di bandar Pekalongan, wilayah Jawa Tengah. Beratus-ratus anggota penyelamat dikerahkan ke kawasan kejadian.

Jurucakap Zulhawari Agustianto memberitahu Reuters bahawa pasukan penyelamat terpaksa menghentikan usaha mencari mangsa disebabkan hujan lebat dan kabus tebal.

Beliau menambah, tiga lagi mayat ditemui sebelum usaha mencari mangsa dihentikan buat sementara waktu.

Pihak berkuasa sebelum ini melaporkan angka korban bencana itu adalah seramai 17 orang.

Encik Zulhawari bagaimanapun tidak membalas soalan mengenai jumlah individu yang masih hilang.

Kejadian tanah runtuh tersebut berlaku di satu jalan raya utama yang menghubungkan Pekalongan ke Dataran Tinggi Dieng yang merupakan satu kawasan pelancongan yang popular.

Para anggota penyelamat terpaksa berjalan sejauh empat kilometer untuk ke tempat kejadian kerana jalan raya berkenaan tidak dapat diakses.

Mesin pengorek turut digunakan untuk membersihkan serpihan tanah runtuh di kawasan itu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Indonesia pada Jumaat sudah menjalankan pembenihan awan menggunakan garam agar hujan tidak lagi turun di Jawa Tengah, menurut agensi bencana negara itu.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita