Skip to main content

Dunia

Operasi cari mangsa tanah jerlus Jalan Masjid India bersambung hari keenam

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India bersambung semula pagi ini selepas ditangguhkan pada pukul 7.30 malam semalam, ekoran hujan lebat.

Menurut tinjauan Bernama di lokasi pada pukul 8.00 pagi, pasukan SAR yang terdiri daripada polis, bomba, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Angkatan Pertahanan Awam sudah berada di lokasi kejadian.

Operasi SAR yang masuk hari keenam hari ini difahamkan akan bermula dengan perbincangan antara lain berkaitan teknik, kaedah dan penugasan selain kerja tinjauan oleh Jabatan Mineral dan Geosains melibatkan lokasi dari pintu gerbang Masjid India ke hadapan kawasan masjid.

Tinjauan juga mendapati kawasan sekitar lokasi lengang kerana pihak berkuasa melarang orang ramai berada berhampiran lokasi operasi SAR. 

Pada Jumaat lalu (23 Ogos), seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48 tahun, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota daripada pelbagai pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk penggunaan anjing pengesan. 
 
Sumber : Bernama/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita