Operasi cari kapal kargo M'sia yang hilang dihentikan selepas tiada petunjuk baru
Operasi mencari sebuah kapal kargo berdaftar di Malaysia yang sedang membawa lima anak kapal dan dilaporkan hilang pada minggu lalu, dihentikan pada hujung minggu lalu oleh pihak berkuasa Indonesia setelah tiada petunjuk baru ditemui.
Kapal kargo M'sia MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang pada 1 Jan 2023, terakhir dikesan di perairan Indonesia. (Gambar: Facebook/Malaysia Coast Guard)
KUALA LUMPUR: Operasi mencari sebuah kapal kargo berdaftar di Malaysia yang sedang membawa lima anak kapal dan dilaporkan hilang pada minggu lalu, dihentikan pada hujung minggu lalu oleh pihak berkuasa Indonesia setelah tiada petunjuk baru ditemui.
Dalam satu kenyataan pada Isnin (16 Jan), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA) menyatakan bahawa Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia - yang menyelaraskan usaha pencarian itu - menghentikan operasi itu pada Sabtu (14 Jan).
Ketua Pengarah MMEA Mohd Zubil Mat Som, bagaimanapun berkata agensinya akan terus menjalankan pemantauan bagi kapal kargo MV Dai Cat 06.
"Meskipun operasi yang diselaraskan oleh BASARNAS telah berakhir, usaha pemantauan oleh aset-aset maritim Malaysia yang beroperasi di lapangan, terutama sekali di perairan Malaysia, akan diteruskan berdasarkan lokasi terakhir kapal itu diketahui berada," kata Encik Zubil.
"MMEA kini meneruskan siasatan mengenai kehilangan MV Dai Cat 06 dan sebarang perkembangan akan dikongsi dari semasa ke semasa."
Encik Zubil berkata BASARNAS akan menyambung semula usaha penyelarasannya jika terdapat petunjuk baru mengenai kapal yang hilang itu.
Menurutnya, BASARNAS telah mengerahkan empat aset terdiri daripada sebuah kapal, dua bot dan sebuah pesawat untuk melakukan pencarian di kawasan perairan Natuna, Indonesia bagi kapal yang hilang itu.
Aset dari MMEA Sarawak turut dikerah untuk membantu dalam usaha mencari di sempadan maritim Malaysia-Indonesia antara Tanjung Datu dengan perairan Kuching.
Kapal kargo berdaftar di Malaysia itu dilaporkan hilang pada Isnin (9 Jan) dansedang membawa paip besi yang bernilai RM726,205 (S$221,432).
Ia kali terakhir dikesan di perairan Indonesia pada Isnin malam lalu apabila isyarat kecemasan dikesan sekitar 30 batu nautika dari bahagian barat laut Pemangkat, Indonesia.
Pengarah MMEA Johor Nurul Hizam Zakaria dalam satu kenyataan pada Selasa (10 Jan) menyatakan bahawa kapal kargo itu - yang dikendalikan oleh tiga anak kapal rakyat Malaysia dan dua anak kapal warga Indonesia - berlepas dari Perak pada 23 Disember dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.