Skip to main content

Dunia

Operasi besar-besaran dijalankan terhadap bas susuli nahas di Genting Highlands

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan Malaysia melancarkan operasi bersepadu besar-besaran terhadap bas persiaran bermula Selasa (2 Jul) menyusuli kemalangan maut di Genting Highlands yang meragut nyawa dua pelancong warga China.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook berkata pegawai kementeriannya akan berbincang dengan pegawai pelancongan mengenai bagaimana untuk membaiki SOP penguatkuasaan terhadap syarikat pelancongan dan bas persiaran.

“Kita akan mengadakan operasi besar-besaran terhadap semua bas, bermula dengan bas persiaran esok,” katanya dalam satu sidang media, lapor agensi berita Free Malaysia Today.

“SOP itu sendiri sudah diketatkan tetapi isu kini adalah pematuhan. Pengendali ini (kemalangan Genting Highlands) tidak mematuhi syarat SOP kami, yang termasuk menghadkan usia kenderaan.

“Ia melanggar semua syarat, dan ia menjadi masalah bila kita ada operator yang tidak bertanggungjawab.”

Menurut laporan Free Malaysia Today, Encik Loke mencadangkan syarikat pelancongan yang terbabit dengan kemalangan itu didakwa mengikut Seksyen 42(2) Akta Pengangkutan Darat kerana gagal mematuhi syarat lesen.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, denda maksimum RM500,000 (S$143,550), atau kedua-duanya sekali.

“Jelas syarikat itu tidak mematuhi syarat lesen dengan membenarkan pemandu tanpa lesen manakala permit bas pula tamat pada 16 Feb lalu. Ia melanggar undang-undang, menyebabkan dua nyawa hilang, dan mencemarkan imej negara.”

Kemalangan pada pagi Sabtu lalu itu menyebabkan dua warga China Zhang Ping, 58 tahun, dan Wang Shuhong, 49 tahun, terbunuh. Kemalangan itu membabitkan seramai 18 pelancong asing, seorang pemandu bas, pembantu dan seorang pemandu pelancong.

Polis berkata pemandu bas berusia 32 tahun itu tiada lesen dan memiliki 27 saman trafik atas pelbagai kesalahan, dipetik daripada Free Malaysia Today.

Lesen operasi syarikat pelancongan yang terbabit dengan kemalangan itu digantung oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita