Onn Hafiz mula galas tugas Menteri Besar Johor
Gambar: Bernama
ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar Johor yang baru, Onn Hafiz Ghazi, memulakan tugasnya secara rasmi di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di Iskandar Puteri hari ini (16 Mac).
Kenderaan membawa Menteri Besar Johor ke-19 itu tiba di pekarangan bangunan berkenaan pada 10.05 pagi dan ketibaan beliau disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani.
Sebelum memasuki pejabat beliau di Aras 4, Onn Hafiz yang mengenakan sut serba hitam mengaminkan bacaan doa dan secara simbolik menandatangani surat untuk memulakan tugas rasmi beliau.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada Selasa (15 Mac).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz, 43 tahun, memenangi pertandingan empat penjuru menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional (PN), R. Sangaran (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Dr Sharuddin Md Salleh (Parti Pejuang Tanah Air) dengan majoriti 6,543.
Barisan Nasional memenangi PRN Johor dengan memperoleh lebih dua pertiga majoriti, memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.