Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Omicron lwn vaksin COVID-19: Apa lagi yang perlu kita tahu?

Adakah varian Omicron menyebabkan penyakit lebih ringan? Adakah ia akan menjadi varian dominan? Berikut ringkasan dapatan awal setakat ini...

Anggaran Waktu Membaca:
Omicron lwn vaksin COVID-19: Apa lagi yang perlu kita tahu?

Gambar hiasan virus. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 10 Dec 2021 09:42AM Dikemas Kini : 10 Dec 2021 09:45AM

CHICAGO: Kajian makmal yang dikeluarkan minggu ini membayangkan varian Omicron akan menyebabkan vaksin Pfizer dan BioNTech kurang berkesan mencegah jangkitan COVID-19 selepas dua dos, meskipun dos ketiga mungkin mengukuhkan perlindungan tersebut.

Lebih banyak data masih diperlukan tentang bagaimana vaksin COVID-19 sedia ada kekal berkesan terhadap varian Omicron yang menunjukkan mutasi yang banyak. Berikut adalah perkara yang masih perlu kita ketahui:

ADAKAH OMICRON SEBABKAN PENYAKIT LEBIH TERUK ATAU RINGAN?

Meskipun beberapa data awal menunjukkan bahawa versi baru koronavirus itu menyebabkan penyakit lebih ringan berbanding varian sebelumnya, lebih banyak data diperlukan sebelum kesimpulan kukuh dapat dirumus, kata John Moore, seorang profesor mikrobiologi dan imunologi di Kolej Perubatan Weill Cornell.

Untuk membantu menilai tahap kemudaratan varian tersebut, saintis akan menjejaki berapa banyak orang yang sudah diberi vaksin tetapi masih dijangkiti Omicron dan sama ada mereka perlu dimasukkan ke hospital atau rawatan rapi. Data sebenar diperlukan mengenai mereka yang tidak divaksinasi, mereka yang sudah mendapat dua dos vaksin dan mereka yang sudah mendapat dos penggalak.

Bukti sedemikian mungkin diperlukan dari pelbagai negara kerana pengalaman dengan varian itu boleh berbeza-beza mengikut wilayah yang berbeza, jelas Shane Crotty, pakar virologi di Institut Imunologi La Jolla di San Diego. Para saintis berharap mendapat jawapan kepada soalan-soalan tersebut dalam beberapa minggu akan datang.

ADAKAH OMICRON AKAN GANTIKAN DELTA SEBAGAI VARIAN DOMINAN?

Varian Delta yang membawa maut mudah berjangkit kekal sebagai varian SARS-CoV-2 yang dominan, menyebabkan 99.8 peratus jangkitan global setakat 7 Dis, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Bagi Omicron menjadi masalah yang ketara, ia perlu mengubah imbangan itu untuk menjadi varian dominan.

"Sekiranya kita secara tiba-tiba mula menyaksikan 10 peratus jangkitan baru adalah Omicron, dan kemudian ia meningkat pada minggu berikutnya kepada 20 peratus, ia memberi petanda bahawa kita berada dalam gelombang penggantian seperti yang kita lihat apabila Delta menggantikan Alpha," jelas Moore.

Jika tidak, ia mungkin lebih seperti varian Beta, yang menunjukkan keupayaan untuk mengurangkan keberkesanan vaksin, tetapi tidak pernah menjadi ancaman global.

BAGAIMANA DENGAN VAKSIN LAIN?

Kajian makmal terhadap vaksin COVID-19 lain daripada Moderna, AstraZeneca dan Johnson & Johnson juga sedang dijalankan. Kajian tersebut menganalisis kesan varian Omicron pada sampel darah daripada orang yang pernah dijangkiti dan sudah divaksin sebelum ini. Ramai saintis menjangkakan keupayaan suntikan ini untuk meneutralkan Omicron mungkin akan merosot berbanding dengan varian koronavirus terdahulu.

Suntikan Moderna menggunakan teknologi serupa seperti Pfizer-BioNTech, tetapi ia didapati menawarkan perlindungan yang lebih bertahan terhadap jangkitan dengan varian sebelumnya, manfaat yang dipercayai disebabkan dosnya yang lebih tinggi dan tempoh selang yang lebih lama antara suntikan. Moderna mungkin melihat peneutralan antibodi vaksin itu terhadap Omircon adalah lebih rendah berbanding dengan Pfizer, kata Dr Amesh Adalja, pakar penyakit berjangkit di Pusat Keselamatan Kesihatan Johns Hopkins

Sinovac Biotech dari China menyatakan ia sedang menjalankan kajian untuk menentukan sama ada vaksinnya yang menggunakan virus yang tidak diaktifkan berkesan terhadap Omicron atau sama ada syarikat itu perlu membangunkan vaksin yang baru. Ketua Dana Pelaburan Langsung Rusia, Kirill Dmitriev, pula memberitahu CNBC, ia mungkin mengambil masa tiga minggu lagi untuk mengetahui sejauh mana Sputnik V Rusia berkesan terhadap Omicron.

"Saya rasa anda akan melihat pengurangan (keberkesanan) dalam kesemua vaksin," kata Dr Adalja.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan