Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Omicron kurang kemungkinan sebabkan 'long COVID': Kajian UK

Anggaran Waktu Membaca:
 Omicron kurang kemungkinan sebabkan 'long COVID': Kajian UK

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Jun 2022 09:22AM Dikemas Kini : 17 Jun 2022 09:22AM
LONDON: Varian Omicron koronavirus kurang berkemungkinan menyebabkan 'long COVID' atau kesan berpanjangan virus itu berbanding varian sebelumnya.

Demikian menurut kajian yang pertama seumpamanya dinilai rakan seangkatan dari United Kingdom, lapor Reuters.

Penyelidik di King's College London, menggunakan data daripada aplikasi kajian COVID Symptom Study, mendapati kemungkinan mengalami kesan berpanjangan koronavirus selepas jangkitan adalah 20 hingga 50 peratus lebih rendah semasa gelombang Omicron di United Kingdom berbanding Delta.

Angka itu berbeza-beza bergantung usia pesakit dan tempoh vaksinasi terakhir mereka, lapor Reuters.

Long COVID, yang termasuk gejala berpanjangan dari keletihan hingga lembab otak atau 'brain fog' boleh melemahkan dan berlarutan selama berminggu-minggu atau bulan lamanya.

Kesan itu semakin diiktiraf sebagai masalah kesihatan awam dan penyelidik berlumba-lumba untuk mengetahui sama ada Omicron juga menimbulkan risiko 'long COVID' seperti varian dominan sebelum ini.

Kajian daripada King's College itu dipercayai adalah penyelidikan akademik pertama yang menunjukkan bahawa Omicron tidak menunjukkan risiko besar 'long COVID' tetapi tidak bermakna jumlah pesakit COVID berpanjangan semakin merosot, menurut pasukan itu.

Meskipun risiko 'long COVID' lebih rendah semasa dijangkiti Omicron, lebih ramai orang dijangkiti. Maka itu jumlah mutlak yang terkesan kini lebih tinggi, lapor Reuters.

Pejabat Perangkaan Nasional UK menyatakan pada Mei seramai 438,000 pesakit di negara itu mengalami gejala 'long COVID' selepas dijangkiti Omicron, menyumbang kepada 24 peratus pesakit 'long COVID'.

Ia juga menyatakan, risiko gejala berlarutan selepas Omicron adalah lebih rendah berbanding Delta. Sekalipun demikian ia hanya untuk mereka yang sudah divaksin dua dos. Ia mendapati tiada perbezaan statistik bagi mereka yang disuntik dos penggalak.

Dalam kajian King's College itu, 4.5 peratus daripada 56,003 pesakit yang dikaji ketika kemuncak Omiron, iaitu antara Disember 2021 dengan Mac 2022, melaporkan mengalami 'long COVID'.

Ini berbanding 10.8 peratus daripada 41,361 orang semasa gelombang Delta, pada Jun hingga November 2021.

Kajian itu tidak membandingkan individu yang sudah divaksin dengan yang belum divaksin.

Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan sebab Omiron mungkin mempunyai risiko 'long COVID' yang lebih rendah, tambah pasukan itu.
Sumber : Reuters/NK/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa