Omicron diramal varian dominan di Eropah jelang Jan 2022
Agensi kesihatan awam Kesatuan Eropah (EU) menyatakan pada Khamis (2 Dis) bahawa varian Omicron mungkin bertanggungjawab bagi lebih separuh daripada kesemua jangkitan COVID-19 di Eropah dalam masa beberapa bulan akan datang, namun tiada kes jangkitan serius dikenal pasti di rantau tersebut.

Seorang pesakit COVID-19 terlantar di sebuah hospital di Eropah (Gambar: AFP/Thomas Kienzle)
BRUSSELS: Agensi kesihatan awam Kesatuan Eropah (EU) menyatakan pada Khamis (2 Dis) bahawa varian Omicron mungkin bertanggungjawab bagi lebih separuh daripada kesemua jangkitan COVID-19 di Eropah dalam masa beberapa bulan akan datang, namun tiada kes jangkitan serius dikenal pasti di rantau tersebut sejauh ini.
Anggaran itu mungkin menyokong maklumat awal mengenai varian Omicron yang dikhuatiri lebih mudah berjangkit, malah lebih pantas berbanding varian Delta yang sebelum ini dianggap sebagai varian yang paling mudah berjangkit dalam kalangan varian utama koronavirus.
"Berdasarkan pemodelan matematik yang dijalankan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC), terdapat petunjuk yang membayangkan bahawa Omicron boleh membentuk lebih separuh daripada kesemua jangkitan SARS-CoV-2 di EU/EEA dalam masa beberapa bulan akan datang," menurut ECDC dalam kenyataannya.
EU dan Rantau Ekonomi Eropah (EEA) meliputi 27 negara anggota EU termasuk Iceland, Liechtenstein dan Norway.
Setakat ini, tiada bukti muktamad tentang penularan Omicron namun ketua teknikal COVID-19 di WHO, Maria van Kerkhove berkata pada Rabu bahawa agensi itu dijangka akan memperolehi data berhubung perkara tersebut dalam masa beberapa hari lagi.
Awal Khamis, penasihat saintifik kanan pemerintah Perancis, Jean-Francois Delfraissy berkata bahawa Omicron boleh menggantikan Delta sebagai varian dominan menjelang hujung Januari.
Eropah sejauh ini sudah mencatatkan 79 kes varian Omicron yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan pada bulan lalu, menurut ECDC.
Separuh daripada kes-kes jangkitan tidak bergejala dan lagi separuh hanya mengalami simptom ringan. Tiada kes jangkitan teruk, pesakit dimasukkan ke hospital atau kematian yang dilaporkan sejauh ini.
Berhubung kes yang mempunyai data mengenai usia dan status vaksinasi, sebahagian besar adalah golongan muda yang sudah lengkap divaksin, tambah kenyataan tersebut.
ECDC tidak pula memberikan butiran lanjut namun menarik perhatian para individu yang terjangkit sejauh ini adalah pelawat dan mereka boleh dianggap dalam keadaan lebih sihat berbanding penduduk umum.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.