Skip to main content

Dunia

Ombak setinggi 11 meter landa Wellington; ratusan penduduk dipindahkan

Anggaran Waktu Membaca:
Ombak setinggi 11 meter landa Wellington; ratusan penduduk dipindahkan

Laut bergelora membadai pesisir pantai di pinggir bandar Owhiro Bay, Wellington, New Zealand, pada 9 Jun 2026. (Gambar: AFP/Ben Strang)

Diterbitkan : 09 Jun 2026 03:28PM
  • Ombak setinggi 11 meter dan angin kencang melanda Wellington, memaksa ratusan penduduk di kawasan pantai selatan berpindah.
  • Pihak berkuasa mengarahkan pemindahan di Teluk Owhiro, Island Bay, Houghton Bay dan Breaker Bay serta menutup jalan dan menggantung perkhidmatan feri.
  • Cuaca buruk ini menyebabkan pembatalan penerbangan dan kerosakan dijangka lebih teruk berbanding ribut tahun 2020.
  • Arahan pemindahan dan amaran keselamatan kekal sehingga pagi Rabu, dengan pihak berkuasa menggesa orang ramai menjauhi kawasan pantai.
Dijana oleh AI
WELLINGTON: Ombak setinggi 11 meter dan angin kencang membadai ibu negara New Zealand pada Selasa (9 Jun), lapor Xinhua.

Para penduduk di sepanjang pantai selatan Wellington diarahkan berpindah dan situasi itu menjejas perkhidmatan pengangkutan.

Pihak berkuasa mengarahkan penduduk meninggalkan kawasan pantai di Teluk Owhiro, Island Bay, Houghton Bay dan Breaker Bay, memberi amaran bahawa perkhidmatan kecemasan tidak akan memberi respons di zon berkenaan.

Beratus-ratus penduduk mematuhi arahan apabila keadaan semakin teruk.

Menurut Pejabat Pengurusan Kecemasan Wilayah Wellington, ombak membadai jalan pantai, manakala tiupan angin hampir 100 kilometer sejam direkodkan di Lapangan Terbang Wellington.

Di wilayah Wairarapa, angin mencecah kelajuan 137km sejam beserta ombak besar.

Penerbangan masuk dan keluar dari Wellington terjejas, dengan beberapa pembatalan dilaporkan dan sebuah pesawat kecil dilayangkan angin.

Perkhidmatan feri Selat Cook yang dikendalikan oleh Interislander dan Bluebridge juga digantung.

MetService menyatakan ketinggian purata ombak adalah sekitar enam meter namun puncak ombak mencecah ketinggian hampir seganda.

Cuaca buruk dijangka berterusan hingga tengah hari Selasa (9 Jun) sebelum reda lewat hari itu, sementara arahan pemindahan kekal hingga pagi Rabu.

Penutupan jalan raya dikuatkuasakan di sepanjang sebahagian besar pantai selatan dan pihak berkuasa menggesa orang ramai menjauhi kawasan pantai yang terdedah.

Para pegawai berkata pukulan ombak dalam tempoh yang lama itu boleh menyebabkan kerosakan pantai dengan ketara, lebih teruk daripada kesan yang dilihat semasa ribut pada 2020 dengan ombak setinggi 5.5 meter yang menyebabkan pemindahan besar-besaran.
Sumber : Bernama/Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita