Skip to main content

Dunia

Ombak Perubahan: Usaha makmurkan Masjid Rahmatullah yang jadi simbol harapan dan ketabahan masyarakat Lampuuk, Aceh

Anggaran Waktu Membaca:
Ombak Perubahan: Usaha makmurkan Masjid Rahmatullah yang jadi simbol harapan dan ketabahan masyarakat Lampuuk, Aceh

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

BANDA ACEH: Masjid Rahmatullah di perkampungan Lampuuk, Aceh, menjadi simbol kekuatan dan harapan sejak dua dekad lalu, apabila ia satu-satunya bangunan yang teguh berdiri apabila bangunan-bangunan sekelilingnya luluh lantak dibadai tsunami. 

Sebahagian daripada masjid itu telah diperbaiki, namun beberapa bahagian dibiarkan dalam keadaan asal hingga ke hari ini. 

Langkah itu bertujuan menjadikannya tanda peringatan bagi penduduk tempatan, mengingatkan mereka akan detik hitam yang melanda 20 tahun yang lalu.

HANYA 300 PENDUDUK TERSELAMAT

Bahagian Masjid Rahmatullah yang dikekalkan, yang rosak akibat tsunami. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Ketika tsunami melanda Aceh pada 2004, hanya 300 daripada 6,500 penduduk perkampungan Lampuuk terselamat. 

Masjid Rahmatullah, satu-satunya bangunan yang kekal berdiri di kawasan itu, menjadi tempat perlindungan dan simbol harapan bagi mangsa yang terselamat.

Encik Umardiansyah, Urusetia Masjid Rahmatullah, adalah salah seorang yang terselamat dan telah bergiat aktif dalam jawatankuasa masjid itu sejak perasmiannya pada 1997. 

Beliau berkongsi pengalaman mengharungi hari-hari sukar selepas bencana melanda.

“Melihat bahawa Masjid Rahmatullah masih selamat dan kekal berdiri kukuh, sementara rumah-rumah penduduk lain musnah dan menjadi rata. Kami ambil inisiatif untuk membaik pulih masjid ini. Beberapa warga yang kehilangan rumah turut ditempatkan di masjid ini," kata Encik Umardiansyah.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Beliau turut menceritakan bagaimana bantuan mula tiba setelah seminggu berlalu.

“Setelah seminggu membersihkan kawasan ini, bantuan berupa khemah mulai tiba dari beberapa NGO yang membagikan khemah kepada penduduk yang tinggal di masjid ini. Oleh itu, kami mula mendirikan khemah di sekitar masjid, dengan kira-kira 100 khemah pada waktu itu," tambah beliau.

Tokoh-tokoh masyarakat yang terselamat di perkampungan Lampuuk turut memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan dan kebangkitan masyarakat di sana.

(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Encik Umardiansyah berkongsi bagaimana tokoh-tokoh tersebut bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membantu mangsa yang terselamat.

"Ternyata ada di antara tokoh-tokoh kita dari warga kampung di sini yang selamat dan mereka memainkan peranan dalam mengendalikan, bekerjasama dengan pihak-pihak NGO dan mereka yang datang ikut membantu dan melihat keadaan kita di sini, apa yang diperlukan.

“Dan ada beberapa orang yang memikirkan bagaimana untuk menggalakkan masyarakat kita yang sudah berada di tempat itu untuk membolehkan kita pulang ke kampung ini untuk hidup semula sambil menjaga masjid, sambil kita meneruskan aktiviti di masjid ini,” katanya.

TERIMA SUMBANGAN LUAR NEGARA

Mantan Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton berkunjung ke Masjid Rahmatullah. (Gambar: Umardiansyah)

Masjid Rahmatullah, yang terus berdiri dengan kukuh menarik perhatian ramai, termasuk Mantan Presiden Amerika, Bill Clinton, yang pernah mengunjunginya. 

Selain itu, masjid tersebut menerima sumbangan dana dari luar negara dan sering dikunjungi para pelawat asing.

"Biaya renovasi dan pembaikan masjid ini, secara keseluruhan, dibiayai oleh bantuan dari Turki. Kami, sebagai masyarakat dan jawatankuasa masjid, turut berperanan dalam membina semula dan menambah bahagian-bahagian yang diperlukan. Semua ini dilakukan dengan bantuan dan kerjasama masyarakat," kongsi Encik Umardiansyah.

PASTIKAN KISAH MASYARAKAT DAPAT DIKONGSI DENGAN GENERASI AKAN DATANG

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Bagi Encik Syahrizal, salah seorang penduduk Lampuuk, beliau bertekad untuk terus memastikan peristiwa tsunami dan kisah kebangkitan masyarakat Aceh dapat dikongsi dengan generasi akan datang.  

Beliau turut aktif dalam galeri masjid yang dibina untuk mengabadikan sejarah dan pengalaman masyarakat Lampuuk selepas tragedi tsunami.  

“Saya merasa takjub kerana masjid ini masih utuh, mungkin ia ditinggalkan untuk kami kembali ke masjid untuk beribadah. Seperti yang saya ceritakan tadi, pengalaman saya terselamat dari tsunami. Kebanyakan mereka bertanya, air setinggi berapa? Bagaimana keadaan ketika itu?” tambahnya.  

Usaha menaik taraf Masjid Rahmatullah masih diteruskan dan dijangka menelan kos lebih S$330,000.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita